Jiangxi Isuzu Motors, sebuah usaha sama antara Isuzu dan Jiangling Motors, telah melancarkan model SUV MU-X versi facelift terbaru untuk pasaran China. Harganya berada di antara 178,800 yuan (RM111,421) dan 268,800 yuan (RM167,476).

Dari luar, ia nampak sama seperti unit yang dijual di sini, dengan mengenakan beberapa sentuhan baru tentunya. Ini termasuk bahagian bampar baru di depan dan belakang, rim 18-inci, perumah lampu kabus rekaan baru (kini lebih banyak krom) serta rekaan gril baru.

Rekaan lampu utamanya juga kini datang sekali dengan DRL LED dan lampu panduan LED dengan grafik baru di dalam satu unit yang sama. Sementara di belakang, bentuk luaran bahagian lampunya kekal sama, tetapi kini diberikan rekaan dalaman grafik baru serta lampu panduan LED juga. Tampahan terbaru ialah lampu dengan pancaran logo Isuzu yang boleh kelihatan pada panel pintu depan.

Perubahan paling ketara pada model facelift terbaru ini terletak di bahagian dalamnya. MU-X bagi pasaran China menerima rekaan ruang kabin yang baru sepenuhnya, dengan paparan infotainmen ala skrin tablet yang jelas dan besar. Skrin sentuh 8-inci itu juga hadir dengan sokongan Apple CarPlay dan CarLife Connectiviti oleh Baidu, termasuk fungsi media lainnya.

Bahagian lain yang turut diberi rekaan baru ialah pada tombol gear, tombol sistem Terrain Command 4WD serta sterengnya. Semua ini, termasuk kemasan kayu yang digunakan, lampu suasana dan sistem audio Yamaha memberikan kelainan pada ruang kabin bagi kenderaan ini – ia hadir lebih premium, berbeza dengan MU-X dengan spesifikasi Thailand.

Dua enjin turbodiesel diberikan sebagai pilihan, diganding bersama gear manual enam-kelajuan atau automatik serta pilihan versi 4WD atau 2WD. Enjin baru RZ4E-TC 1.9 liter Ddi Blue Power dengan kuasa 150 PS/340 Nm menggantikan enjin 4JK1-TCX 2.5 liter sebelum ini. Ia disertai juga dengan enjin 4JJ1-TCX 3.0 liter, yang menjana 177 PS dan 430 Nm.