Terengganu jadi negeri pertama guna myBAS elektrik

Terengganu jadi negeri pertama guna myBAS elektrik

Perkhidmatan myBAS menerusi skim Transformasi Perkhidmatan Bas Berhenti-henti (SBST) telah pun beroperasi di beberapa lokasi, termasuk di Kangar, Ipoh dan Seremban. Ia bertujuan untuk menghubungkan kawasan bandar dan luar bandar dengan lebih efisyen melalui jadual masa yang telah ditetapkan agar dapat membantu penduduk setempat supaya lebih mudah berulang-alik ke tempat kerja, sekolah dan pelbagai lokasi lain.

Walau bagaimana pun, mulai semalam Terengganu telah menjadi negeri pertama di Malaysia menggunakan perkhidmatan myBAS pacuan elektrik. Operasi bas di Kuala Terengganu itu dijangka bermula April, merangkumi tujuh laluan utama dan satu laluan pengantara dengan jumlah keseluruhan jarak 235.9 kilometer.

Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nancy Shukri, langkah ini seiring dengan komitmen Malaysia untuk menurunkan kadar pelepasan karbon ke alam sekitar hingga 45 peratus pada 2030, dengan inisiatif penggunaan kenderaan cekap tenaga, laporan Bernama.

Sewaktu ditemui dalam Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) kontrak Pengendali Perkhidmatan dan Pra-Pelancaran myBas Kuala Terengganu antara Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) dengan MARA Liner Sdn Bhd, Nancy turut menjelaskan program myBAS Kuala Terengganu melibatkan keseluruhan 30 bas, namun sebagai permulaan sebanyak 11 bas akan disediakan termasuk empat bas elektrik.

“Atas inisiatif kerajaan, rakyat Terengganu bukan sahaja dapat menikmati kadar tambang yang berpatutan iaitu serendah 90 sen hingga RM2.50, malah pada masa sama turut menikmati perkhidmatan bas selesa, bercirikan moden serta mesra alam. Diskaun sebanyak 50% juga diberikan kepada pelajar sekolah, orang kelainan upaya (OKU) dan warga emas,” katanya.

Pada Oktober lalu, syarikat Go Auto mengumumkan turut merancang untuk membekalkan bas elektrik kepada kerajaan negeri Melaka, walau bagaimana pun ia masih belum ada perkembangan mengenainya. Manakala mulai suku kedua 2018, lima buah bas elektrik akan beroperasi di sekitar Putrajaya. Ia dikendalikan oleh Gets Global.

Walau bagaimana pun, Selangor menerusi Majlis Bandaraya Shah Alam terlebih dahulu melancarkan perkhidmatan dua bas elektrik yang telah pun beroperasi di sekitar Shah Alam sejak April tahun lalu.

Sebelum ini, pada pertengahan tahun 2016, Elektrik Bas Inovasi Malaysia (EBIM) telah diuar-uarkan akan mula beroperasi pada 2017. Bas elektrik pertama ciptaan 30 jurutera universiti tempatan ini mampu menjimatkan kos operasi pengusaha bas di negara ini antara 60% hingga 70% iaitu penjimatan lebih RM300 juta setahun berbanding penggunaan tenaga diesel. Namun sehingga kini, perkembangannya juga masih kurang jelas.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Izwaashura Sadali

Ledakan adrenalin dan impak maksima. Antara barisan ayat yang paling digemari apabila menggambarkan prestasi sesebuah jentera. Sebelum terlibat di dalam industri auto pada tahun 2011, dia sekadar gemar melihat sport rim tetapi kini lebih suka menerokai kehebatan sesebuah jentera itu.

 
 

Add a comment

required

required