Diumumkan pada September tahun lalu, Toyota Yaris GRMN, 86 GR, Prius c GR Sport dan Prius v GR Sport akhirnya mula dijual di pasaran Jepun. Hampir kesemua model ini telah pun bersedia di semua pengedar Toyota, dengan Yaris GRMN hanya ditawarkan sebanyak 150 unit sahaja, dan tempahannya bakal dibuka mulai 9 April ini menerusi laman web khas dan pengedar GR Garage sahaja.

Kita mulakan dengan Yaris GRMN, yang dilogokan sebagai Vitz GRMN di Jepun – hot hatch ini dijanakan dengan enjin yang sama di Eropah iaitu 1.8 liter supercharged empat-silinder, dengan hamburan kuasa 212 PS pada 6,800 rpm dan tork 250 Nm pada 4,800 rpm. Hanya ditawarkan dengan transmisi manual enam-kelajuan, dan ditampilkan peredam, underbody dan strut bracing Sachs, dan Torsen limited-slip differential untuk prestasi yang lebih efektif.

Apa yang membezakan antara model Jepun dengan yang dijual di Eropah ialah bampar hadapannya yang lebih sporti bersama corong pengambilan udara yang lebih besar, termasuk skirt sisi dan bampar belakag yang lebih menyerlah dengan diffuser yang lebih agresif serta lampu belakang dan tailgate daripada Yaris pra-peningkatan. Malah ia turut menampilkan roda aloi BBS 17-inci, tempat duduk sport, kluster instrumen dengan logo GR, roda stereng yang lebih kecil dan kaliper brek hadapan dengan empat-omboh yang diapit pada cakera.

Barisan model penuh sport ini turut disertai 86 GR, yang dibangunkan secara edisi terhad dari 86 GRMN. Ia ditampilkan dengan kit aero penuh, roda aloi Rays 17-inci, peredam Sachs, tempat duduk Recaro, kaliper brek hadapan enam-omboh (empat-omboh di belakang) dan Torsen limited slip differential. Walau bagaimana pun, kuasanya masih kekal sama iaitu 205 PS dari enjin 2.0 liter empat-silinder.

Sementara ini, Prius C dan v GR Sport pula masing-masing hadir dengan pakej penampilan bagi hybrid hatch dan MPV. Kedua-duanya menerima bampar hadapan dan belakang baharu, tempat duduk sport, kluster instrumen berlogo GR, roda stereng yang lebih kecil, suspensi talaan khas dan pendakap tambahan. Prius c turut menerima tombol gear balutan kulit asli dan titik kimpalan tambahan untuk lebih ketegaran.

Harga bagi Yaris GRMN ialah 4,000,000 yen (RM142,600), sementara 86 GR berharga 4,968,000 (RM177,100). Untuk Prius c GR Sport berharga 2,332,800 yen (RM83,200) bagi model pacuan dua-roda dan 2,538,000 yen (RM90,500) bagi pacuan empat-roda. Manakala Prius v GR Sport pula ditawarkan pada harga 3,351,240 yen (RM119,500) untuk 2WD dan 3,556,440 yen (RM126,800) bagi 4WD.

GALERI: Toyota Yaris GRMN

GALERI: Toyota 86 GR

GALERI: Toyota Prius c GR Sport

GALERI: Toyota Prius v GR Sport