Daihatsu Sirion baru khabarnya akan dilancarkan di Indonesia esok, 13 Februari seperti dilaporkan oleh Kompas. Tarikh berkenaan diperoleh daripada pengarah pemasaran PT Astra Daihatsu Motor (ADM),
Amelia Tjandra minggu lalu.

Sama seperti sebelum ini, Daihatsu Sirion merupakan model rebadge daripada Perodua Myvi dan akan diimport sepenuhnya (CBU) dari Malaysia. Menurut Amelia, Sirion baru yang akan dijual di sana akan sama dengan spesifikasi Perodua Myvi terbaru berkenaan dan bukannya dalam versi yang lebih ringkas. “Perbezaan yang ada hanyalah logo, itu saja,” ujarnya.

Penerbitan itu juga melaporkan anggaran harga bagi Sirion terbaru itu di Indonesia ialah sekitar 180 juta Rupiah (RM52,019) bagi model paling asas hinggalah kepada 190 juta Rupiah (RM54,910) bagi varian paling lengkap. Apa pun, senarai harga sebenarnya akan diumumkan pada majlis pelancarannya kelak.

Di Malaysia, Perodua Myvi terbaru yang mula dijual sejak November 2017 ditawarkan dalam beberapa varian seperti berikut; enjin 1.3L (dari RM44,300 hingga RM48,300) dan 1.5L (dari RM51,800 hingga RM55,300).

Daihatsu Sirion sebelum ini di Indonesia hanya ditawarkan dengan enjin 1.3L sahaja. Untuk versi terbaru ini, masih belum pasti adakah kedua-dua enjin akan diperkenalkan di sana. Jika anda ingin tahu lebih lanjut tentang Myvi 2018, ikuti laporan komprehensif yang telah kami sediakan sebelum ini, antaranya laporan pandu uji serta ulasan video perbandingan dengan model lamanya.

strong>GALERI: Perodua Myvi 1.5L Advance 2018