Jaguar I-Pace kenderaan elektrik penuh pertama Jaguar – kuasa 400 PS, jarak gerak 480 km sekali cas

Jaguar I-Pace kenderaan elektrik penuh pertama Jaguar – kuasa 400 PS, jarak gerak 480 km sekali cas

Jaguar akhirnya mendedahkan kereta produksi elektrik penuhnya yang pertama iaitu I-Pace. Sebelum ini, ia pertama kali dipertontonkan pada bulan November yang lalu. Jika mengikut saiz, I-Pace terletak antara E-Pace dan F-Pace, dan akan bersaing terus dengan Tesla Model X.

Dibina menggunakan asas aluminium khas, I-Pace mempunyai struktur badan tegar yang mempunyai kekuatan kilas paling kuat antara semua model Jaguar iaitu 36 kNm/darjah. Bateri lithium-ion 90 kWh (dengan 432 sel) diletakkan di atas lantai kenderaan, memberikan jarak pergerakan sehingga 480 km dalam kitaran WLTP.

Seperti yang anda boleh jangka, pengecasan pantas ada disediakan pada I-Pace, dengan menggabungkan Combined Charging System standard dengan penyambung Type 2. Untuk mendapatkan kuasa 80%, dari kosong, ia hanya memerlukan masa 40 minit, manakala dengan pengecasan selama 15 minit sahaja, pengguna boleh mendapatkan jarak penggunaan 100 km. Sekiranya tidak bergegas, pengecasan di rumah menggunakan soket dinding AC 7 kW akan mengambil masa 10 jam untuk penuh.

Jaguar I-Pace kenderaan elektrik penuh pertama Jaguar – kuasa 400 PS, jarak gerak 480 km sekali cas

Bateri pada kenderaan ini menyampaikan kuasa kepada dua motor elektrik, yang diletakkan satu bagi setiap gandar, seterusnya menghasilkan pacuan semua roda. Kuasa keseluruhan yang mampu dihasilkan adalah 400 PS dan 696 Nm, manakala pecutan 0-100 km/j pula boleh dilakukan dalam masa cuma 4.8 saat.

Menurut Jaguar, pakej sumber kuasa elektrik I-Pace membolehkan ia mendapat pembahagian berat 50:50 dan titik graviti yang rendah. Barangan berkaitan pengendalian lain yang terdapat pada kenderaan ini adalah sistem double wishbone di hadapan, multi-link di belakang, serta pilihan suspensi udara dan sistem Adaptive Dynamics.

Daripada aspek rekaan, kereta ini tidak banyak beza dengan model konsep yang pernah diperkenalkan sebelum ini. Perubahan yang diberi termasuk pada bahagian bampar, bumbung suria yang dibentukkan semula, lampu belakang dan diffuser belakang baru. Jaguar memberitahu, garis luar kenderaan ini mendapat inspirasi daripada C-X75, dengan bonet yang rendah dan pendek, bumbung aerodinamik dan cermin belakang melengkung.

Jaguar I-Pace kenderaan elektrik penuh pertama Jaguar – kuasa 400 PS, jarak gerak 480 km sekali cas

Bentuk ini bukan sahaja untuk menarik pandangan orang, tetapi juga membantu memberikan rintangan angin yang baik iaitu 0.29 Cd. Selain daripada itu, ada bahagian pada gril hadapannya boleh terbuka untuk memberikan udara sejuk apabila perlu dan apabila tertutup, ia membantu menyalurkan udara ke atas bonet.

Pada bahagian dalam, sekali lagi I-Pace menunjukkan rekaan yang sama dengan model konsep, dengan tambahan barangan seperti lubang udara dan pembaikan kepada penukar gearnya. Sistem informasi dan hiburan Touch Pro Duo juga ada pada kenderaan ini, dan boleh dikawal dengan menggunakan kombinasi skrin sesentuh, pengesan kapasitif dan pengawal fizikal.

Ciri lain yang terdapat pada I-Pace adalah sistem navigasi EV yang boleh mengira jarak berdasarkan pergerakan sebelum ini, sistem A.I (Artificial Intelligence) yang boleh mengenal pasti keperluan pemandu dan Amazon Alexa Skill. I-Pace juga datang dengan head-up display, ciri pemanduan semi-autonomous dengan adaptive cruise control, Activity Key, Remote Pack dan sedia untuk kemas kini perisian.

Jaguar I-Pace kenderaan elektrik penuh pertama Jaguar – kuasa 400 PS, jarak gerak 480 km sekali cas

Jaguar memberitahu, I-Pace menawarkan ruang dalaman yang boleh dibanding dengan SUV lebih besar. Ini adalah hasil daripada penggunaan rekaan bahagian dalam yang lebih ke depan dan susunan pek kuasanya. Jarak antara rodanya adalah 2,990 mm, panjang keseluruhan 4,682 mm, dan penumpang di belakang boleh menikmati ruang kaki 890 mm dan ruang kepala 968 mm. Mereka yang duduk di depan mendapat 1,013 mm ruang kepala dan 1,040 mm ruang kaki.

Kelengkapan yang membantu aspek praktikaliti juga banyak pada kenderaan ini, termasuk ruang simpanan 10.5 liter di bahagian tengah, di belakang, serta tempat letak tablet dan laptop di bawah tempat duduk. Ruang barangan di but dicatat pada 656 liter, dan apabila tempat duduk dilipat rata, ia boleh menjadi 1,453 mm.

I-Pace akan membuat penampilan di depan orang ramai semasa Geneva Motor Show nanti, tetapi ia sudah pun mula dijual di United Kingdom dengan harga bermula 63,495 pound (RM342,791). Pembeli mempunyai pilihan empat varian iaitu S, SE, HSE dan First Edition yang datang dalam jumlah terhad.





Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Durrani Sharom

Mempunyai latar belakang yang pelbagai termasuk sebagai pengurus tapak, pemandu van/lori dan pelbagai lagi, Durrani akhirnya masuk ke dalam bidang penulisan automotif lapan tahun lalu. Apa sahaja yang beroda dan berenjin membuatkan beliau teruja dan beliau percaya ‘mesin pengangkutan' ini sepatutnya adalah sesuatu yang mampu memberikan pengalaman menyeronokkan kepada penggunanya.

 
 

Add a comment

required

required