Suhu di Kenbuchi Proving Ground di Hokkaido ialah -2 darjah Celsius. Salji turun, dan ada waktunya datang dengan angin kencang. Lebih penting, permukaan jalan atau laluan yang ada semuanya diselaputi oleh ais keras yang sangat licin. Berjalan kaki cara biasa sahaja boleh membuatkan anda tergelincir dan terlentang di atas tanah, kalau tak berhati-hati.

Itu merupakan suasana di litar ujian musim sejuk yang disewa oleh Mazda. Setiap tahun, bagi tempoh kira-kira dua bulan ketika musim dingin, kawasan akan ditutup dan pasukan kecil jurutera serta pemandu uji dari Mazda akan berkampung di kawasan pergunungan itu.

Tujuannya adalah untuk mereka menjalankan ujian terhadap teknologi kenderaan yang sedang dibangunkan. Selain daripada tempoh dua bulan berkenaan, laluan di kawasan itu akan dibuka untuk kegunaan awam. Apa yang mereka uji di sana? Banyak perkara sebenarnya.

Sebagai contoh, kesan salji atau kesejukan ekstrim terhadap komponen-komponen tertentu, tahap prestasi radar, laser serta kamera bagi sistem keselamatan, pembangunan dan pemantauan reaksi bagi ciri-ciri seperti ABS, kawalan cengkaman (TRC), kawalan kestabilan kenderaan (DSC), GVC serta dijadikan lapangan untuk melatih pemandu profesional.

Dalam situasi permukaan jalan di atas ais beku yang licin serta ketika berhadapan dengan cuaca ekstrim seperti inilah pentingnya untuk sesebuah kenderaan memiliki ciri pacuan semua roda (AWD). Namun, ciri berkenaan bukanlah sama seperti ciri 4WD yang biasanya melengkapi jenis kenderaan seperti trak pikap.

Bagi kenderaan penumpang, ia lebih kepada memenuhi keperluan pemanduan di atas permukaan jalan yang pelbagai, dan bukannya untuk kegunaan off-road yang lebih lasak. Bagi Mazda, syarikat itu membangunkan ciri yang dikenali sebagai i-ACTIV AWD, dengan matlamat untuk memperoleh sebuah sistem AWD yang ideal yang dapat memberikan prestasi yang baik dan dalam masa yang sama mampu memberikan kadar penggunaan minyak yang cekap.

Sebagai pemandu biasa, agak sukar untuk menentukan sama ada permukaan jalan hanya berdasarkan penglihatan, apatah lagi untuk menukar antara pacuan 2WD kepada 4WD secara manual. Tambahan pula dalam konteks musim dingin, di mana permukaan jalan yang nampak kering mungkin saja sebenarnya merupakan permukaan beku. Ia amat sukar ditentukan dengan pandangan mata kasar, apatah lagi untuk memberikan tindak balas segera.

Oleh sebab itu, ciri i-ACTIV AWD ini bertujuan untuk “menampung” kekurangan yang ada pada pemandu dalam hal ini. Bagaimana ia dicapai? Bagi Mazda, terdapat tiga fasa bagi sistem ini berfungsi; “Recognition”, “Jugdement” dan “Operation”.

Bagi aspek pengesanan atau “Recognition”, terdapat 27 isyarat atau sensor yang akan memberikan maklum balas kepada sistem untuk ia menilai input yang ada. Antara isyarat yang dimaksudkan ialah tork serta sudut stereng, operasi pengilap cermin depan, tekanan cecair brek, kelajuan berasingan keempat-empat tayar dan banyak lagi.

Daripada isyarat serta sensor berkenaan, sistem akan mengesan cuaca hujan, tahap kelicinan permukaan, input semasa dari pemandu serta kadar gelinciran (slippage)/cengkapan pada tayar dan lain-lain.

Fasa penilaian atau “Judgement” sistem ini kemudiannya akan mengelakkan daripada berlakunya gelinciran pada tayar hadapan, mengagihkan tork ke bahagian tayar belakang dengan segera bagi membantu dan memudahkan pemandu mengawal kenderaan. Menurut Mazda, sistem ini membuat penilaian pada kadar yang sangat pantas iaitu sebanyak 200 kali sesaat.

Mazda i-ACTIV AWD akan mengagihkan tork minimum ke roda belakang dalam corak boleh ubah yang berterusan, bergantung kepada permukaan jalan, operasi oleh pemandu dan keadaan semasa kenderaan dalam kadar 200 kali sesaat.

Secara ringkasnya, i-ACTIV AWD akan membekalkan tork yang optimum seperti yang diperlukan oleh roda belakang dalam satu-satu situasi dan bukannya dalam corak kadar tork berlebihan seperti yang diberikan oleh ciri AWD biasa.

Ini bukanlah satu ciri yang baru dibangunkan. Ia telah mula ditawarkan pada model seperti Mazda CX-5 generasi pertama lagi, dan serta digunakan pula pada model CX-5 terbaru. Dalam kesempatan ringkas memandu uji dua model CX-5 berkenaan – satu dengan ciri 2WD dan satu lagi AWD – di atas permukaan salji, unit dengan ciri i-ACTIV AWD memberikan lebih keyakinan untuk mengendalikan kenderaan. Input dari pedal minyak sentiasa memberikan ruang dan kadar tork yang memadai untuk kenderaan bergerak ke depan. Ini memudahkan anggaran pemanduan.

Laluan mendaki juga lebih mudah untuk dihadapi, dengan kadar gelinciran roda hadapan yang sangat minimum serta kawalan stereng yang juga boleh dijangka dengan agak mudah. Dengan unit 2WD, setiap kali ingin memulakan pemanduan, tayar hadapannya akan tergelincir dengan ketara (dan kedengaran agak kuat dari dalam kabin) dan hanya boleh berharap agak kenderaan tidak mengundur ke belakang dan menuruni bukit. Ini dalam keadaan kedua-dua unit berkenaan telah dilengkapi dengan tayar musim sejuk.

Bagaimana kita di Malaysia dapat memanfaatkan ciri ini? i-ACTIV AWD tidak hanya berkesan untuk permukaan salji beku sahaja. Peralihan cuaca yang mendadak seperti cuaca hujan juga akan membuatkan sistem ini sangat berguna. Contoh lain pula adalah seperti situasi air bertakung diperkukaan jalan. Dalam keadaan-keadaan seperti ini, i-ACTIV AWD akan berfungsi seperti sepatutnya untuk membantu dan memudahkan pemandu mengawal kenderaan – tanpa mereka sedari.

Mazda CX-5 di Hokkaido, Jepun