Mulai tahun hadapan, satu siri perlumbaan motosikal elektrik akan dianjurkan oleh Dorna Sports dan dikenali sebagai FIM Enel MotoE World Cup. Februari lalu motosikal yang akan digunakan telah pun ditunjukkan kepada umum, dan kini, senarai penuh pasukan yang akan menyertainya pula disiar.

Keseluruhannya akan ada 11 pasukan yang menyertai siri perlumbaan ini dan ia terdiri daripada Tech 3 Racing, LCR Team, Marc VDS Racing Team, Pramac Racing, Angel Nieto Team, Esponsorama Avintia Racing, Gresini Racing, Sky Racing Team VR46, Pons Racing, Dynavolt Intact GP dan SIC58 Squadra Corse.

Ada di antara pasukan ini akan mempunyai dua motosikal yang berlumba serentak, menjadikan keseluruhannya terdapat 18 buah motosikal di atas litar. Motosikal yang digunakan pula kesemuanya adalah daripada Energica, namun kuasanya masih belum didedahkan.

Menurut pengarah perlumbaan ini, Nicolas Goubert, FIM Enel MotoE World Cup akan berlangsung sebanyak lima pusingan, tetapi kesemuanya adalah di dalam Eropah sahaja. Ia akan menjadi sebahagian daripada acara dalam MotoGP, dan semasa perlumbaan di Qatar hujung minggu lalu, motosikal elektrik tersebut telah muncul melakukan pusingan demonstrasi.