Pasaran India telah menerima sebuah model cruiser baru dengan pelancaran Suzuki Intruder 150 pada harga 100,000 rupee (RM6,000). Sebelum ini, Intruder sememangnya sudah ada dalam pasaran India tetapi model baru ini dipertingkat dengan enjin yang menggunakan sistem suntikan bahan api SEP.

Enjin tersebut menggunakan satu silinder, berkapasiti 154.9 cc dan mampu menghasilkan kuasa sebanyak 14.8 PS pada 8,000 rpm dan 14 Nm tork pada 6,000 rpm. Transmisi pula adalah unit lima kelajuan. Ini adalah padanan sama yang digunakan pada model Gixxer 150 yang dipasarkan di sana.

Daripada aspek penampilan, tiada sebarang perbezaan antara Intruder FI dengan Intruder karburetor dan ia masih mempunyai gaya santai dengan pemegang yang lebih dekat kepada penunggang, tempat duduk lebar dan rendah (740 mm), serta lampu hadapan yang menyerupai model cruiser lebih besar, Suzuki Boulevard.

Perincian lain Intruder 150 FI ini adalah berat 148 kg, brek cakera depan dan belakang, rim bersaiz 17 inci, tayar 100/80 di depan dan 140/60 di belakang, fork teleskopik, monoshock di belakang dan lampu belakang LED. Untuk kesenangan pengguna, tangki bahan apinya mampu mengisi 11 liter.

Intruder 150 FI juga menunjukkan ciri moden dengan penggunaan meter jenis digital, dan menurut mereka, penunjuk RPM pada meter ini adalah sama seperti Hayabusa dan GSXR-1000. Pada bahagian brek, ciri keselamatan ABS turut disediakan.