Mazda 3 generasi ketiga sudah berada dalam pasaran sejak tahun 2013, dan pada Julai 2016, ia diberikan facelift. Dijangkakan tidak lama lagi, sebuah model generasi baru akan muncul, dan kami telah mendapat gambar awal daripada PCAuto.

Gambar ini menunjukkan bahagian panel instrumen kenderaan tersebut, yang menggunakan unit digital penuh. Menurut sumber, panel paparan ini boleh diubah mengikut kemahuan pengguna, dengan pilihan dua mod paparan yang berbeza dan unik.

Paparan pertama menampilkan satu bulatan besar yang menggabungkan tahap rpm dan kelajuan, diapit dengan dua lagi bulatan kecil di tepinya. Satu lagi paparan lebih minimalis dan mudah dilihat, dengan tahap rpm dan kelajuan dipaparkan secara berasingan.

Selain panel paparan instrumen ini, kelihatan bahagian lain seperti perumahnya, roda stereng, butang kawalan dan bahagian atas papan pemuka dilihat masih sama dengan model yang ada sekarang. Sejauh mana perubahan lain yang akan diberi masih lagi tidak diketahui.

Selain evolusi elemen rekaan Kodo (dipertonton melalui model Kai Concept), Mazda 3 baru juga dijangka menggunakan enjin Skyactiv-X baru, yang akan diangkat sebagai enjin komersial petrol pertama di dunia yang menggunakan pencucuhan secara mampatan. Di sebalik badannya juga terdapat platform SkyActiv-Vehicle Architecture baru.

GALERI: Mazda Kai Concept