Selain dari dari Porsche dan juga Volkswagen Beetle (model asal, bukan model generasi baharu dengan enjin di depan), Subaru antara syarikat yang tegar menggunakan enjin jenis boxer. Jenama dari Jepun tersebut telah membangunkan enjin jenis ini sejak era 60’an, dan buat masa sekarang, kesemua kenderaan dalam barisan model Subaru dijana oleh enjin boxer.

Perbezaan utama enjin ini berbanding enjin dengan silinder sebaris lain tentulah kedudukan silinder dan ombohnya. Kebanyakkan enjin boxer Subaru mempunyai empat silinder (mereka pernah juga membina enjin boxer enam-silinder, malah 12-silinder juga pernah dihasilkan untuk kegunaan kereta lumba Formula 1), jadi dua-silinder diletakkan pada sebelah kiri, dan dua lagi pada kanan secara simetri.

Dengar macam enjin jenis ‘V’ bukan? Susunan selinder sememangnya hampir sama dengan enjin ‘V’, tetapi apa yang berbeza adalah kedudukan silinder berkenaan – silinder enjin ‘V’ diletakkan pada sudut serong 30- hingga 60-darjah, sebaliknya enjin boxer mempunyai silinder dan omboh dengan kedudukan rata. Disebabkan pergerakkan mendatar omboh-omboh tersebut juga menjadi sebab mengapa enjin ini digelar ‘boxer’- ia kelihatan seperti tangan peninju yang sedang menumbuk ketika sedang beroperasi.

Jadi apa kelebihan enjin ini sehingga Subaru mendakwa ia mampu memberikan pengendalian yang lebih baik kepada kereta mereka? Pertama kedudukan omboh yang ‘terbaring terus’ itu sendiri secara jelas duduk dengan lebih stabil ketika beroperasi, berbanding enjin konvensional dengan silinder dan omboh yang ‘berdiri’.

Kedudukan enjin yang lebih stabil dan rendah tersebut secara tidak langsung membolehkan daya olengan badan kereta dikurangkan dengan drastik walaupun tidak menggunakan suspensi yang keras – sebab itu anda dapat rasakan kebanyakkan model-model Subaru begitu stabil ketika meredah selekoh laju.

Seperti yang diketahui juga, enjin boxer ini menghasilkan bunyi unik seperti guruh, terutamanya pada model-model turbo berpretasi tinggi seperti Impreza WRX. Bunyi tersebut terjadi kerana panjang manifold ekzos pada silinder kiri dan kanan direka tidak sama panjang, menyebabkan dua bunyi keluar dari muncung tip ekzos dalam masa yang berbeza. Tetapi jika anda perasan, bunyi berkenaan tidak lagi jelas kedengaran pada model-model terkini Subaru, kerana manifold ekzos pada enjin-enjin baharu mereka telah direka dengan panjang yang sama.