Ahmad Maslan dakwa harga kereta turun hingga 16.38% dari 2013-Feb lalu – kami teliti semula laporan

Ahmad Maslan dakwa harga kereta turun hingga 16.38% dari 2013-Feb lalu – kami teliti semula laporan

Ketika berlangsungnya sidang Dewan Negara baru-baru ini, timbalan menteri perdagangan antarabangsa dan industri Datuk Seri Ahmad Maslan menyatakan bahawa harga kereta di Malaysia telah turun secara purata sehingga 16.38% dari tahun 2013 hingga Februari tahun ini, manakala untuk tahun 2017 sahaja harga kereta telah turun sebanyak 0.52%, menurut laporan Bernama.

“Pada 2016 pula, harga kereta meningkat sebanyak 2.13% berikutan kejatuhan nilai ringgit yang menyebabkan pihak syarikat pengeluar kenderaan tidak dapat membuat pengurangan harga kereta. Pada tahun tersebut, penurunan harga kereta secara keseluruhan hanya pada tahap 12.55%,” kata Ahmad ketika menjawab kepada persoalan Senator Datuk Ir Yong Wui Chung, yang menanyakan apakah sasaran 30 peratus penurunan harga kereta seperti yang dijanjikan lima tahun lepas dapat dicapai serta apa halangan yang dihadapi kerajaan bagi mencapai sasaran tersebut.

Ahmad Maslan menjelaskan, bagi mencapai sasaran 30 peratus penurunan harga kereta itu, terdapat beberapa cabaran utama yang perlu dihadapi seperti kenaikan mata wang asing berbanding ringgit, ketidaktentuan pasaran, faktor pasaran iaitu harga unit komponen terurai (CKD) yang diimport dan diperoleh dari pasaran tempatan, kos pengangkutan, insurans dan kadar faedah pinjaman.

Menurut menteri berkenaan lagi, harga kereta tidak ditetapkan oleh pihak kerajaan sebaliknya ditentukan oleh syarikat-syarikat pengeluar dan pemasang kenderaan.

“Kerajaan akan terus berbincang dengan pihak syarikat pengeluar kenderaan bagi memastikan harga kereta adalah berpatutan dan mampu milik. Beberapa syarikat dapat menurunkan harga kereta melalui strategi pemasaran masing-masing termasuk pengenalan model baharu dan penukaran operasi daripada pengimportan kepada pemasangan tempatan,” katanya.

Ketika menjawab soalan tersebut, Ahmad Maslan turut mendedahkan berberapa contoh bagi menunjukkan penurunan harga secara berperingkat bagi tempoh 2013 hingga 2017. Antaranya ialah Proton Exora 1.6 dengan penurunan sebanyak 4.7%, Perodua Alza 1.5 (-11.3%), Perodua Myvi 1.3 (-19.4%), Mazda CX-5 (-6.6%) dan Honda Jazz (19.3%).

Namun adakah dakwaan penurunan berkenaan benar? Jadi kami semak semula harga-harga yang dinyatakan tersebut. Untuk Proton Exora 1.6 CFE Standard CVT 2013, ia dijual pada harga atas jalan tanpa insuran RM67,108 ketika itu, manakala untuk Exora 1.6 Turbo Exec CVT 2018 pula dijual pada harga RM65,702. Memang benar ia telah turun sebanyak RM1,405, tetapi dari segi peratusan, ia hanya turun sebanyak 2.09% berbanding 4.7% yang didakwa menteri berkenaan.

Ahmad Maslan dakwa harga kereta turun hingga 16.38% dari 2013-Feb lalu – kami teliti semula laporan

Beralih kepada Perodua Alza, model 1.5S MT 2013 dijual pada harga RM51,738 ketika, manakala untuk model 2018 pula MPV tersebut kini berharga RM50,648. Lagi sekali, ia memang turun, tetapi hanya 2.11% dan bukan 11.3% seperti yang didakwa. Jika benar ia turun seperti yang dinyatakan, pembeli mampu membawa pulang sebuah Alza 1.5S MT tersebut pada harga hanya RM45,892 hari ini.

Bagaimana pula dengan Myvi yang dinyatakan turun mendadak sehingga 19.4%? Pada tahun 2013, model 1.3 MT dijual pada harga RM40,650, namun jika anda ke bilik pameran Perodua sekarang, hatchback segmen-B dalam versi 1.3 Standard G MT tersebut dijual pada harga RM44,300. Bukan sahaja tidak turun, malah naik RM3,650 atau 8.98%.

Untuk jenama bukan nasional yang dinyatakan Ahmad Maslan iaitu Mazda CX-5, model pertengahan 2.0 liter 2WD SUV tersebut dijual RM2,046 lebih mahal untuk versi 2018 berbanding model pada tahun 2013 atau naik sebanyak 1.54% – jelas berlawan dengan penurunan 6.6% seperti yang dinyatakan ketika sidang Dewan Rakyat berkenaan.

Ahmad Maslan dakwa harga kereta turun hingga 16.38% dari 2013-Feb lalu – kami teliti semula laporan

Manakala untu Honda Jazz pula, memang ada penurunan jika kami bandingkan antara model 1.5 2013 (RM72,666) dan model 1.5 S 2018 (RM72,510), namun ia hanya sebanyak RM156 atau 0.21%, berbanding angka 19.3% yang diumumkan.

Februari lalu, Berita Harian turut mengeluarkan satu laporan yang menyatakan bahawa harga kereta turun sehingga 20.77%. Namun apabila kami semak dengan cara yang sama, perbandingan dilakukan dengan model yang tidak setara – misalnya Proton Preve CFE Premium yang hanya dibandingkan dengan model asas Preve 1.6 NA Manual.

Tetapi, kami juga tidak menafikan bahawa terdapat penurunan yang besar pada model-model tertentu, terutamanya model-model EEV dan hibrid yang dipasang secara tempatan (CKD) dijual jauh lebih murah dari versi CBU oleh kerana kerajaan memberikan insentif cukai yang besar untuk model-model lebih mesra alam tersebut bagi menggalakkan pengeluar untuk memasang kereta dengan teknologi berkenaan di dalam negara. Namun buat masa sekarang, insentif berkenaan nampaknya hanya tertumpu kepada jenama-jenama luar seperti BMW, Mercedes-Benz, Volvo, Hyundai dan Honda.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required