Kebanyakkan peminat Ford tahu bahawa legasi Escort tamat pada generasi keenam dan ia kemudiannya disambung oleh model Focus. Namun tahukah anda bahawa nama Escort telah di bawa ke China dan Ford menghasilkan model khas hanya untuk pasaran berkenaan? Model tersebut telah diperkenalkan buat pertama kali di republik berkenaan pada tahun 2014, dan model versi facelift 2017 Escort tersebut akan diperkenalkan pada Auto China di Beijing tahun ini.

Untuk model facelift ini, Escort diberikan muka seakan sama dengan Fiesta dan Focus generasi baharu. Lampu hadapan xenon direka semula dengan rekaan lebih tirus, digandingkan dengan lampu nyalaan siang berbentuk-C. Gril hadapan turut mendapat sentuhan semula, begitu juga dengan liang kemasukan udara dan juga perumah lampu kabus.

Ford masih belum mendedahkan gambar untuk bahagian belakang, tetapi menurut kenyataan yang dikeluarkan, lampu belakang LED baharu diberikan yang menampilkan rekaan ‘two-piece‘ sehingga pada penutup but, manakala lampu kabus dialihkan ke bampar belakang. Menerusi gambar yang telah disiarkan ini pula, dapat dilihat Escort menerima antena sirip yu pada bahagian belakang serta model varian tinggi diberikan rim aloi baharu berdiameter 17-inci.

Gambar bahagian dalaman juga belum ditunjukkan sepenuhnya, namun Ford mendedahkan Escort akan menerima kluster instrumen dengan rekaan baharu, tema warna dua ton (kelabu dan hitam), serlahan aluminium satin serta kemasan-kemasan berkilat. Ia juga akan dilengkapkan dengan tempat duduk hadapan larasan berkuasa dan cermin sisi elektrik – kedua-duanya diberikan fungsi memori.

Ciri lain yang turut disahkan pada model ini termasuk sistem kunci pintar dengan butang penghidup enjin, lampu dan pengelap cermin automatik, cermin pandang belakang anti-silau automatik serta skrin sesentuh 8.0-inci untuk sistem infotainmen lengkap dengan kamera undur. Untuk keselamatan pula, Escort facelift kini diberikan sistem kawalan stabiliti elektronik, enam beg udara termasuk beg udara tirai serta sistem pemantau tekanan angin tayar – kesemua hadir sebagai ciri standard.

Enjin emapt silinder 1.5 liter NA Ti-VCT pada model ini telah dipertingkatkan – Ford mendakwa ia kini 16% lebih jimat bahan api dari sebelumnya. Buat pertama kali juga, Escort menerima enjin petrol turbo 1.0 liter tiga-silinder Ecoboost. Namun angka kuasa untuk kedua-dua enjin ini masih belum didedahkan. Pada model Fiesta, enjin 1.0 liter EcoBoost tersebut menghasilkan 125 PS/170 Nm, manakala versi lama 1.5 liter Ti-VCT pula menjana 113 PS/142 Nm.

Kedua-dua enjin ini ditawarkan dengan opsyen sistem start/stop automatik. Manakala untuk transmisi pula, kedua-dua enjin boleh dipilih sama ada untuk digandinkan dengan kotak gear enam-kelajuan manual atau enam-kelajuan automatik konvensional SelectShift.