Lotus telah mendedahkan Exige Sport 410, iaitu pengganti bagi Exige Sport 380 sebelum ini. Model baru ini menggunakan asas daripada Exige Cup 430 yang ada sekarang, tapi sedikit kurang ganas kerana disiapkan untuk pemanduan harian. Pada bahagian enjin, ia menggunakan unit V6 3.5 liter supercharge yang mampu menghasilkan 410 hp pada 7,000 rpm dan 420 Nm tork pada 3,000 hingga 7,000 rpm.

Jumlah ini adalah lebih sedikit daripada Exige Sport 380 sebelum ini yang mampu menghasilkan 375 hp dan 410 Nm tork, tetapi kurang berbanding Exige Cup 430 yang berkemampuan 430 hp dan 440 Nm tork. Transmisi pula adalah unit manual enam kelajuan, dan dengan berat cuma 1,054 kg, ia mempunyai nisbah berat dan kuasa 389 hp bagi setiap tan. Menurut Lotus ini menjadikan ia sebagai Exige berenjin V6 paling ringan pernah dihasilkan.

Sekiranya anda rasa catatan ini masih kurang menakjubkan, Exige Sport 410 boleh mencatat pecutan 0-100 km/j cuma 0.1 saat kurang daripada Exige Cup 430, iaitu pada 3.4 saat. Sebagai sebuah coupe, kenderaan ini boleh mencapai kelajuan maksimum 290 km/j, manakala apabila dengan badan roadster, ia boleh mencatat 233 km/j.

Turut diperbaiki adalah daya tolakan ke bawah (downforce), yang kini berada pada 150 kg, berbanding 140 kg pada Exige Sport 380 sebelum ini. Casis, suspensi dan penyerap hentakan kenderaan ini diambil daripada Exige Cup 430, tetapi unit penyerap boleh laras Nitron yang digunakan ditala supaya tidak terlalu keras seperti kenderaan litar. Turut boleh dilaras adalah anti-roll bar depan dan belakang Eibach.

Bagi memastikan cengkaman yang bagus, model baru ini didatangkan dengan tayar Michelin Pilot Sport Cup 2 bersaiz 215/45 di hadapan dan 285/30 di belakang, melengkapi rim aloi 17 inci dan 18 inci padanya. Brek pula daripada AP Racing. Berat yang dinyatakan awal tadi boleh didapati hanya apabila semua barangan serba ringan dipasang. Jika tidak, berat standardnya adalah 1,074 kg.

Pada bahagian dalam, banyak bahagian yang dibalut dengan Alcantara, termasuk roda stereng dan tempat duduknya. Untuk barangan seperti alas kaki, pendingin hawa, karpet, sistem audio, cruise control dan penyerap bunyi, semuanya disediakan sebagai pilihan tambahan.