Sebelum ini Proton mengumumkan mereka hanya memberikan baucar servis kepada pelanggan yang mendaftar kereta baharu mereka bermula 16 Mei hingga 31 Mei ini sebagai respon terhadap langkah kementerian kewangan yang menetapkan kadar GST kepada 0%. Namun hari ini, pengeluar automotif nasional tersebut mengumumkan bahawa inisiatif tersebut turut akan memberikan pilihan rebat tunai kepada pelanggan.

“Semalam, Proton mengumumkan satu inisiatif yang menawarkan faedah kepada pembeli kereta Malaysia untuk membayar pada harga kadar sifar GST sebelum ianya berkuatkuasa. Hari ini, syarikat memberikan pelanggan pilihan untuk mereka menerima faedah ini, sama ada dalam bentuk baucar perkhidmatan atau rebat tunai. Tidak ada sebab untuk menunggu hingga 1 Jun 2018 untuk membeli Proton baharu kerana kami telah memberikan penjimatan yang lebih awal,” kata Abdul Rashid Musa, Naib Presiden Jualan & Pemasaran Proton.

Menerusi tawaran ini, nilai rebat tunai yang ditawarkan adalah sama dengan perbezaan harga antara harga kereta semasa dengan harga setelah GST dikadarkan pada sifar peratus.

Selain itu, Proton turut menawarkan diskaun 6% menerusi program servis berkala Proton Customer Care (kos buruh dan alat ganti servis berkala sahaja) kepada semua pemilik Proton yang membawa kereta mereka untuk diservis di pusat servis bertauliah Proton. Inisiatif servis ini akan bermula dari 19 Mei hingga 31 Mei.