Satu lagi jenama di bawah Kumpulan Naza, Peugeot turut mengumumkan harga terkini bagi model-model keluarannya pada kadar GST 0%, yang akan bermula pada 1 Jun ini, seperti yang diumumkan oleh kerajaan baru-baru ini. Ia akan berlangsung sehingga pengenalan semula SST secara rasmi kelak.
Tanpa GST, semua model-model Peugeot menjadi lebih murah antara RM4,915.48 bagi model 208 PureTech hinggalah sebanyak RM10,419.10 bagi model 508 SW THP wagon. Model SUV tujuh-tempat duduk 5008 yang baru saja dilancarkan bulan lalu juga kini kurang RM9,816.11, dan dijual pada harga RM164,071.89.
Selain daripada perubahan harga ini, Naza turut menawarkan promosi rebat Raya bagi semua modelnya (kecuali 5008), bernilai antara RM1,000 bagi 3008 hinggalah sebanyak RM45,000 bagi 508 SW – menjadikan harga wagon berkenaan kini RM129,091.59. Bagi model paling kecil, 208 PureTech pula menerima potongan harga RM12,000, menjadikan harga jualannya RM70,179.69.
Turut terlibat dengan promosi ini ialah 508 THP, 508 GT dan MPV Traveller yang digunakan ketika Sukan SEA tahun lalu. Masing-masing dijual pada harga RM117,294.72, RM141,472.21 dan RM149,333.33.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.