SUV ladder frame Nissan yang diasaskan dari trak pikap Navara NP300Nissan Terra – yang baru-baru ini didedahkan di China disahkan akan turut dipasarkan di negara-negara Asia Tenggara.

Menurut Nissan, pelanggan untuk pasaran Filipina merupakan pasaran kedua di dunia akan menerima SUV berkenaan dan kini sudah boleh mula membuat pra-tempahan manakala penghantarannya akan bermula Ogos 2018. Berbeza dengan Terra pasaran China yang dijana enjin petrol, versi pasaran Filipina akan dijana enjin turbodiesel YD25DDTi 2.5 liter empat silinder berkuasa 190 hp dan tork maksima 450 Nm.

Terra juga akan di bawa ke Thailand dan Indonesia tahun ini, manakala Brunei, Cambodia, Laos, Myanmar dan Vietnam akan menyusul kemudian, namun spesifikasi setiap pasaran berkenaan masih belum diumumkan. Walau bagaimanapun, Malaysia nampaknya tersisih dari menerima SUV Nissan Terra ini.

Terra akan diproduksi di hub pemasangan Nissan di Thailand untuk model-model pasaran Asia Tenggara. “Nisaan Terra baharu ini dibina bagi kesesuaian dan untuk Asia Tenggara. Ia menunjukkan komitmen kami untuk menjadikan innovasi dapat dicapai oleh lebih pelanggan di rantau ini,” kata Yutaka Sanada, naib presiden senior Nissan untuk rantau Asia dan Oceania.

Terra direka bagi boleh memuatkan bentangan tempat duduk sama ada lima- atau tujuh-tempat duduk (pasaran China hanya hadir dengan lima-tempat duduk). SUV ini turut dilengkapi pakej bantuan pemanduan Nissan Intelligent Mobility (Amaran Keluar Laluan, Amaran Titik Buta dan Pemantau sekeliling pintar bersama Pengesan Objek Bergerak), locking differential pada gandar belakang, Bantuan Mula Mendaki, Kawalan Menurun Curam dan juga kelegaan tanah 225 mm.