Nissan GT-R Nismo GT3 2018 – kereta lumba yang dipertingkat, dengan pilihan sistem penghawa dingin

Nissan GT-R Nismo GT3 2018 – kereta lumba yang dipertingkat, dengan pilihan sistem penghawa dingin

Divisi perlumbaan rasmi Nissan – Nismo – kini mendedahkan Nismo GT-R GT3 2018, iaitu jentera perlumbaan sebenar untuk kelas GT yang diasaskan dari model jalan raya Nissan GT-R Nismo.

Model 2018 ini menyaksikan berberapa perubahan dibuat berbanding model 2015 sebelum ini antaranya enjin jentera lumba ini direndahkan lagi dengan memadankannya lebih 150 mm ke dalam ruang enjin. Bagi membolehkan pengubahsuaian tersebut dilakukan, suspensi double wishbone pada bahagian hadapan, suspensi belakang dan juga cross member enjin perlu direka dan dilaras semula.

Versi kemaskini ini juga diberikan peningkatan dari segi struktur bagi memperbaiki aspek lenturan badan dan ketegaran torsi pada bahagian hadapan dan belakang, yang memberikan lebih keberkesanan terhadap talaan suspensi. Jentera perlumbaan baharu ini juga kini ditawarkan dengan opsyen sistem penghawa dingin bagi membolehkan pemandu bertarung dalam ujian endurance dalam keadaan lebih selesa.

Nissan GT-R Nismo GT3 2018 – kereta lumba yang dipertingkat, dengan pilihan sistem penghawa dingin

Bagi dimensi pula, kereta lumba ini dibina dengan 4,832 mm panjang, 2,306 mm lebar serta jarak roda 2,817 mm. Manakala untuk ukuran trek pula, jarak antara kedua roda hadapan adalah 1,690 mm manakala belakang pula adalah 1,700 mm.

Kereta ini juga masih dijana oleh enjin VR38DETT 3.8 liter V6 dengan dua pengecas turbo berkembar. Bagi versi perlumbaan GT3 ini, enjin berkenaan ditala bagi mendapatkan kuasa 550 PS pada takat 6,500 rpm dan tork maksima 637 Nm pada takat 5,000 rpm.

Berbeza model produksi jalan raya yang diberikan kotak gear klac berkembar dan sistem AWD, jentera perlumbaan ini pula diberikan transmisi enam-kelajuan sequential dan kuasa hanya dihantar ke roda belakang. Jentera GT3 ini juga berbeza dengan versi GT500 dimana jentera berkenaan dijana oleh enjin 2.0 liter empat-silinder turbo bagi memenuhi undang-undang perlumbaan tersebut.

Nissan GT-R Nismo GT3 2018 ini diberikan rim 18X13jj yang dibaluti dengan tayar perlumbaan bersaiz 330/710R18 pada bahagian hadapan dan belakang. Ia juga diberikan sistm brek dengan angkup enam-silinder di hadapan dan empat silinder di belakang, bersama cakera logam berliang untuk setiap sudut.

Kereta ini telah mula dibina bermula April 2017 dan telah diuji sejauh 30,000 km termasuk penyertaan dalam pelbagai perlumbaan bersama rakan-rakan kerjasama Nismo.

“Walaupun ini merupakan tahun pertama penyertaannya dalam perlumbaan sebenar, ia telah pun menunjukkan daya kompetitifnya, dengan mencapai pelbagai kejayaan seperti tempat ketiga dalam Super GT Jepun (kelas GT300) dan juga ketiga keseluruhan dalam Blancpain GT Series Asia,” kata CEO Nismo Takao Katagiri. Kereta ini dijual pada harga bermula 60,000,000 yen (RM 2,191,342) sebelum diberikan ubahsuai lain bagi disesuaikan untuk kategori perlumbaan tertentu.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required