Perkembangan kenderaan dengan teknologi elektrik menjadi antara tumpuan utama pasaran automotif global, dengan hampir semua jenama-jenama pengeluar utama dari seluruh dunia memberikan perhatian khusus terhadapnya.

Pameran Kuala Lumpur International Motor Show 2018 (KLIMS 18) juga tidak ketinggalan dalam hal ini, dan akan membawakan model-model dan perkembangan teknologi berkenaan kepada pengunjung acara yang bakal berlangsung dari 23 November hingga 2 Disember 2018 itu nanti, bertempat di Malaysia International Trade and Exhibition Center (MITEC), Jalan Duta. KLIMS 18 dianjurkan oleh Persatuan Automotif Malaysia (MAA).

Dengan tema “Beyond Mobility”, satu daripada tumpuan utama acara berkenaan ialah kenderaan dengan teknologi elektrik, jelas MAA. “Industri automotif kini sedang mengalami revolusi. Kemajuan pesat teknologi serta usaha gigih jenama-jenama pengeluar untuk menjayakannya telah mengubah cara kenderaan dipandu. Pelanggan juga menjangkakan pengalaman yang lebih baik, ciri keselamatan lebih tinggi serta kecekapan penggunaan tenaga,” jelas presiden MAA, Datuk Aishah Ahmad.

Honda dijangka akan mempamerkan sebuah “teknologi maju generasi baru” ketika pameran itu nanti. “KLIMS 18 menjadi platfrom yang baik untuk mempamerkan perkembangan teknologi terkini serta visinyad di Malaysia. Honda berbangga kerena menjadi pelopor dalam memperkenalkan model hibrid sebelum ini, dan kemudiannya diikuti oleh model Sport Hybrid untuk pasaran Malayasia,” jelas pengarah urusan dan CEO Honda Malaysia, Toichi Ishiyama mengulas tentang model-model Honda seperti City dan Jazz Hybrid.

Bagi Perodua pula, walapun tidak mempunyai kenderaan dengan teknologi elektrifikasi ketika ini, bagaimanapun akan mempertontonkan beberapa trend kenderaan terbaru. “Sebagai pengeluar kenderaan EEV nombor satu di Malaysia, Perodua akan mengetengahkan teknologi yang digunakan di ruang pameran KLIMS 18 nanti, begitu juga dengan mempamerkan trend rekaan kenderaan terkini kepada umum,” jelas CEO Perodua, Datuk Aminar Rashid Salleh.

Setakat ini, MAA mensasarkan dapat menarik penglibatan 100 pempamer serta 350,000 pengunjung bagi acara ini nanti. Antara jenama-jenama utama yang sudah mengesahkan penyertaan mereka adalah seperti Daihatsu, Ford, Honda, Hyundai, Infiniti, Isuzu, Kia, Lexus, Mitsubishi, Nissan, Peugeot, Perodua, Proton, Toyota, UD, Kawasaki, Honda motosikal, 3M, Elite Looks, dan V-Kool.