Pengedar rasmi Toyota dan Lexus di Malaysia, UMW Toyota Motors (UMWT) telah mengeluarkan kenyataan bagi menyokong langkah Menteri Pengangkutan Anthony Loke yang mengarahkan kenderaan yang terlibat dengan panggilan semula inflator beg udara Takata tetapi masih lagi belum menukar komponen berkenaan agar dilarang untuk memperbaharui cukai jalan mereka.

“Sejak 2013, Toyota Motor Corporation telah secara aktif menangani isu ini. Kenderaan yang terjejas telah dikenal pasti dan pengedar seluruh dunia telah diberitahu bagi menjalankan Kempen Servis Khas. Ketika kempen-kempen berkenaan, modul inflator beg udara telah ditukar tanpa sebarang caj terhadap pemilik-pemilik kenderaan,” kata naib pengerusi UMWT Akio Takeyama.

UMWT telah memanggil semula model-model Toyota yang diproduksi dari 2001 hingga 2014 serta model-model Lexus dari 2007 hingga 2016, dan sehingga kini dilaporkan 53% untuk model Toyota di bawah enam tahun serta 91% model Lexus di bawah tiga tahun telah lengkap menukar komponen yang terjejas berkenaan.

Syarikat tersebut telah melakukan segala yang termampu bagi memanggil semula semua kenderaan yang terjejas dan menggesa pemilik-pemilik kenderaan berkenaan untuk menghantar kereta mereka ke pusat-pusat servis bertauliah bagi menukar modul inflator beg udara Takata itu secara percuma. UMWT juga menghantar surat-surat peringatan kepada pemilik-pemilik berdasarkan alamat dalam pangkalan data mereka.

“Keselamatan merupakan keutamaan tertinggi kami dan kami telah membuat segala yang termampu bagi menghubungi pemilik menerusi pelbagai cara. Kami berterima kasih kepada Menteri Pengangkutan kerana mengambil berat dan akan memberikan sokongan penuh terhadap inisiatif ini,” kata persiden UMWT Ravindran Kurusamy.

Menteri Pengangkutan mengumumkan langkah larangan ini setelah satu lagi insiden meragut nyawa melibatkan sebuah Honda City pada 27 Mei lalu, yang telah disahkan oleh Honda Malaysia bahawa inflator beg udara yang terjejas tersebut telah pecah dan menyebabkan kematian.

Menurut Honda Malaysia, berberapa peringatan telah dihantar kepada pemilik kereta berkenaan berdasarkan informasi dalam pangkalan data mereka bagi menukar komponen yang terjejas tersebut, namun tiada rekod menunjukkan penukaran itu lengkap serta kereta tersebut tidak lagi diservis di pusat servis Honda bertauliah.

Untuk kenderaan-kenderaan keluaran Toyota pula, pemilik-pemilik boleh menyemak sama ada kereta mereka terlibat atau tidak dengan panggilan semula ini menerusi laman web Kempen Servis Khas Toyota dengan memasukkan nombor identiti kenderaan (VIN atau nombor casis) pada penyemak yang disediakan, atau hubungi terus hotline Toyota di talian 1800-8-TOYOTA (869682).

Bagi kenderaan berjenama Lexus pula, pemilik boleh terus menghubungi semua pengedar Lexus bertauliah di seluruh negara atau hubungi hotline Lexus di talian 1800-8-LEXUS (53987) atau layari www.lexus.com.my.