Hanya beberapa hari selepas tamat pusingan perlumbaan di Mugello, Itali, pasukan rasmi Honda Racing Corporation (HRC) iaitu Repsol Honda telah mengumumkan perpisahan mereka dengan Dani Pedrosa menjelang tamatnya musim ini. Pedrosa telah bekerjasama dengan HRC selama 18 tahun sepanjang karier perlumbaan beliau dan telah banyak membantu dalam pembangunan motosikal Honda.

Sekaligus dengan berita tersebut, muncul pula satu lagi pertanyaan. Siapa pula yang akan mengganti beliau pada musim hadapan? Setakat ini masih belum ada kenyataan rasmi oleh HRC, tetapi media di Eropah termasuk skySPORT, GPOne.com dan Motorsport.com telah pun melaporkan Jorge Lorenzo sudah menandatangani perjanjian selama dua tahun sebagai rakan sepasukan Marq Marquez.

Perkara ini mungkin memberikan sedikit kejutan kerana ramai yang beranggapan Lorenzo bakal menggunakan kembali jentera Yamaha, dan ada juga berita yang tersebar sebelum ini menyatakan beliau akan menjadi rakan sepasukan Hafizh Syahrin dalam pasukan baru MotoGP Petronas/SIC Racing.

Seperti yang diketahui juga, Ducati sudah lama tidak senang hati dengan pencapaian Lorenzo, dan cuma baru di Mugello beliau bangkit menjadi juara. Dalam satu temu ramah, Lorenzo ada menyatakan segalanya sudah terlambat untuk hubungan beliau dengan Ducati. Sementara untuk kedudukan dalam pasukan utama Yamaha, ketuanya, Lin Jarvis pernah menyatakan tidak berminat dengan Lorenzo buat masa ini.

Jadi, kemasukan Lorenzo ke Repsol Honda sememangnya satu khabar yang positif. Lagipun, beliau masih dianggap sebagai seorang pelumba yang berpotensi, dengan mempunyai catatan kemenangan GP sebanyak tiga kali. Apa pendapat anda dengan berita yang masih belum rasmi ini? Kalau benar Lorenzo akan menjadi rakan sepasukan Marquez, adakah keadaannya akan jadi lebih tertekan ataupun kedua-duanya boleh serasi kerana berasal dari negara yang sama?