Peugeot telah mendedahkan model 508 SW, iaitu versi wagon untuk sedan 508 yang telah pun diperkenalkan awal tahun ini. Kereta ini bakal membuat kemunculan sulungnya pada Paris Motor Show Oktober nanti, dan bakal dijual pada pasaran Eropah bermula Januari 2019.
Model wagon ini mempunyai ruang kargo sebesar 530 liter. Sekiranya tempat duduk belakang yang boleh dilipat dengan nisbah 60:40 direbahkan sepenuhnya, ruang kargo tersebut mampu menampung kapasiti sehingga 1,780 liter, berbanding 508 sedan hanya 1,537 liter. Bahagian storan ini ini juga boleh diakses dengan pintu tailgate belakang bantuan kuasa yang boleh dibuka tanpa sentuhan tangan.
508 SW ini bukan sekadar merubah bentuk bahagian belakangnya, malah rombakan turut melibatkan perubahan pada dimensi. Model wagon ini diukur dengan panjang 4.78 berbanding 4.75 untuk model sedan. Ia juga lebih tinggi dengan 1.42 meter berbanding 1.4 meter untuk 508 standard kerana dilengkapi dengan bar bumbung.
Muka 508 SW ini masih lagi garang seiras model sedannya, diberikan lampu hadapan LED dan lampu nyalaan siang LED melintang dan gril hadapan dengan motif chequered. Jika anda perasan, lencana 508 yang terletak di atas logo Singa pada gril berkenaan kelihatan seperti diinspirasikan dari rekaan Peugeot 504 yang popular pada era 70’an dahulu.
Versi wagon ini turut menampilkan pintu tanpa tulang cermin sama seperti sedan 508. Rekaan pada bahagian belakang juga hampir seiras, diberikan lampu LED dengan efek 3D mengapit kemasan hitam bersama logo singa pada bahagian tengah. Namun, bahagian belakang 508 SW nampak lebih agresif berbanding 508 sedan dengan garis lebih dramatik diberikan pada panel badan dan bampar belakang, bersama diffuser palsu (untuk model GT Line) yang turut menempatkan tip ekzos berkembar.
Pada bahagian kabin, model SW ini memberikan ruang yang lebih selesa kepada penumpang belakang dengan ruang lega kepala 4 cm lebih besar, manakala perehat belakang untuk tempat duduk bahagian tersebut lebih condong 27 darjah. Ia turut dilengkapi dengan lampu membaca LED individu serta bumbung suria panaromik.
Selain itu, rekaan dalaman model wagon ini adalah seiras model sedannya, termasuk i-Cockpit Peugeot, roda stering kompak, skrin infotaimen 10-inci dalam format 8:3. Pemandu pula menerima panel instrumen digital dengan skrin 12.3-inci yang menawarkan pelbagai mod paparan termasuk sokongan sistem Night Vision.
Ia turut diberikan sistem bantuan pemanduan termasuk Cruise Control Adaptif bersama fungsi stop & go, bantuan kekal lorong, Bantuan Parkir Penuh, lampu membelok, sistem lampu belakang adaptif, Brek Keselamatan Aktif, bantuan lampu tinggi, pengenal had kelajuan serta pemantau titik buta.
Kelengkapan lain yang turut diberikan termasuk upholsteri dan kemasan daripada material premium, tempat duduk AGR dengan fungsi pengurut, sistem audio Focal dengan 10-pembesar suara, servis terhubung Peugeot Connected, pengecas telefon pintar tanpa waya serta i-Cockpit Amplify.
Pilihan enjin juga sama dengan model sedan dengan dua enjin 1.6L Puretech iaitu PureTech 180 dan PureTech 225 – kedua-duanya dipadankan dengan kotak gear lapan-kelajuan automatik EAT8. Ia juga hadir dengan model janaan diesel yang menawarkan enjin BlueHDi 1.5L dan 2.0L dalam pelbagai talaan – BlueHDi 130, BlueHDi 130, BlueHDi 160 dan BlueHDi 180. Enjin diesel versi asas digabungkan dengan kotak gear enam-kelajuan manual, manakala versi lebih tinggi lain diberikan kotak gear EAT8.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.