Sebelum ini, gambarnya pernah terbocor diinternet. Tetapi, pasaran global tak perlu tunggu lama untuk diperkenalkan kepada model Peugeot 508 terbaru – ia sudah didedahkan secara rasmi. Dan, ini bukan sebarangan model; Peugeot menggelarnya “salon radikal” dan meletakkan harapan yang tinggi untuk model berkenaan.

Walaupun sedan segmen D tidak lagi menjadi tumpuan utama pasaran, ia tidak menjadi penghalang bagi Peugeot untuk menghasilkan sebuah rekaan yang lebih berani – lari dari rekaan sedan biasa dan lebih cenderung kepada bentuk “fastback coupe-saloon”. Pendekatan rekaannya diambil daripada model konsep yang pernah dihasilkan sebelum ini, seperti model Exalt (lihat rekaan papan pemuka i-Cockpit) dan Instinct.

Sedikit tentang perbezaan 508 baru ini dengan yang lama. Ia kini lebih pendek (4.75 m vs 4.83 m) dan rendah ( 1.4 m vs 1.46 m). Jarak antara roda pula ialah 2.79 m; lebih pendek 2.4 cm, pengurangan dibahagian overhang. Rim pula dari 16 inci kepada 19 inci.

Secara keseluruhannya, rekaan yang ditampilkan sangat agresif dan menarik sekaligus. Bahagian depan menggunakan lampu DRL LED melintang yang memberi karektor pada wajahnya, ditambah dengan gril krom rekaan terkini dengan motif petak. Antara elemen baru yang dikenakan ialah lencana 508 pada bonet, di atas logo singa – sama seperti yang pernah dilihat pada model 504 ditahun 1970an dulu. Bonetnya juga menurut Peugeot telah direndahkan sehabis boleh.

Pintu tanpa kerangka memberikan imej unik kereta ini. Bahagian belakang juga nampak begitu matang dan cantik – lampu LED 3D dalam motif “cakaran” yang sinonim dengan jenama ini, dan terletak dalam garis menegak hitam berkilat; semuanya merupakan sentuhan kecil yang menjadikannya menakjubkan.

Walaupun dengan rekaan seperti ini, bukaan ruang barangannya juga disimpan kemas dan memudahkan capaian – dengan keluasan yang tersedia ialah 487 liter (maksimum 1,537 liter). Ia sebuah sedan lima-pintu; dengan rekaan menyerupai Audi A5 Sportback.

Bahagian dalaman menempatkan rekaan Peugeot i-Cockpit terbaru, yang merangkumi stereng saiz kompak, skrin sentuh 10-inci dalam format 8:3, dan panel instrumen digital 12.3 inci. Ia memiliki enam mod paparan berbeza dan sistem Night Vision. Ciri ini menggunakan kamera infra-red dan mengesan mahkluk hidup di depan kenderaan pada waktu malam atau dalam keadaan penglihatan terhad. Ia mampu mengesan pada jarak 200-250 m, melangkau kawasan yang boleh dicapai oleh pancaran lampu utama.

508 baru ini juga menawarkan ciri i-Cockpit Amplify. Dengan pilihan suasana yang berbeza – Boost dan Relax – ia melibatkan pengalaman penglihatan (kepekatan lampu suasana dan warna skrin), pengelaman pendengaran (talaan muzikal) serta sentuhan (melalui ciri urutan kerusi). Sistem ini juga mengawal prestasi pemanduan kenderaan (mod pemanduan terdiri daripada ECO, Sport, Comfort, Normal) dan suspensi, sekiranya versi penyerap hentak aktif ditawarkan.

Di ruang dalam, antara ciri yang melengkapi model ini ialah tempat duduk dengan AGR (Aktion für Gesunder Rücken), bumbung panoramik luas dan sistem bunyi Focal. Perincian kemasan lain yang turut digunakan antaranya ialah kulit Nappa, Alcantara dan kayu sebenar.

Dari segi ruang, sekali lagi Audi A5 Sportback dijadikan penanda aras. Ruang kepala penumpang depan dan belakang hampir sama dengan yang ada pada A5, tetapi ruang lengan di depan lebih besar 5 cm manakala ruang kaki di belakang ditambah 3 cm.

Peugeot 508 menggunakan platform EMP2 yang dibina oleh PSA Group – ini memberikan pengurangan berat sebanyak 70 kg dan sekaligus memperbaiki kecekapan penggunaan minyak, keselamatan dan prestasi. Turut diperkenalkan ialah teknik baru bagi kimpalan badan (pelekat struktur bagi meningkatkan kekukuhan), gandar belakang multi-link yang dihubungkan kepada penyerap hentak aktif (standard bagi GT dan semua varian petrol), stereng elektrik yang dikemaskini serta transmisi automatik torque converter lapan-kelajuan.

Bagi pilihan enjin pula, 508 akan menggunakan enjin PureTech Euro 6.c generasi baru dan enjin Blue HDi (dengan teknologi SCR lanjutan) bagi kadar C02 terbaik. Dua enjin 1.6L Puretech akan menggantikan unit Prince/THP lama – PureTech 180 dan PureTech 225 bagi versi paling tinggi GT. Empat pilihan enjin diesel pula adalah berdasarkan enjin-enjin 1.5L dan 2.0L BlueHDi – terdiri daripada BlueHDi 130 manual enam-kelajuan, BlueHDi 130, BlueHDi 160 dan BlueHDi 180.

Semua enjin datang dengan butang Start/Stop dan digandingkan dengan transmisi automatik lapan-kelajuan EAT8, kecuali model asas diesel MT. Peugeot memaklumkan, versi PHEV bagi 508 juga akan diperkenalkan pada penghujung 2019. Peugeot 508 terbaru ini akan membuat penampilan sulung pada Geneva Motor Show 2018 bulan Mac nanti, dan akan dijual bermula September tahun ini.