Aseel Al Hamad ‘sesah’ Jaguar F-Type di litar sempena wanita dibenarkan untuk memandu di Arab Saudi

Sempena pemansuhan larangan memandu untuk golongan wanita di Arab Saudi semalam, 24 Jun 2018, pelumba wanita dari negara tersebut, Aseel Al Hamad diberi peluang oleh Jaguar untuk memandu jentera sport F-Type di atas litar di negara berkenaan bagi meraikan hari bersejarah tersebut. Menurut Jaguar lagi, mereka turut menamakan tarikh berkenaan sebagai “Hari Memandu Sedunia” dan menggalakkan orang ramai berkongsi pengalaman memandu mereka dengan tanda pagar #worlddrivingday.

“Saya cintakan kereta sejak dari kanak-kanak, hari ini merupakan detik yang sangat beremosi untuk saya. Ini merupakan detik memandu terbaik dalam hidup saya. Tiada lagi cara yang lebih baik untuk memulakan Hari Memandu Sedunia dengan melakukan pusingan lap penghormatan di tanah air sendiri dengan Jaguar F-Type – kereta yang hebat untuk mengaum di dalam litar. Saya harap masyarakat dunia akan berkongsi kegembiraan kami hari ini dengan berkongsi kisah memandu mereka menggunakan #worlddrivingday,” kata Aseel.

Sambutan Hari Memandu Sedunia ini dijalankan oleh Jaguar bagi menggalakan masyarakat bagi memperingati peristiwa bersejarah ini dan apa ertinya pada wanita, untuk Arab Saudi dan juga perkembangan dunia secara am. Jenama kereta sport dari British tersebut turut bekerjasama dengan lebih 40 universiti dan institusi akademik dari seluruh dunia untuk penyelesaian mobiliti masa hadapan.

Jaguar turut menjalinkan kerjasama dengan universiti-universiti di Arab Saudi bagi menyertai jaringan antarabangsa berkenaan. Kerjasama tersebut akan diumumkan kemudian tahun ini, yang bakal menyaksikan pertukaran pelbagai idea dan pandangan dari bakat-bakat muda di Arab Saudi bagi membentuk Jaguar kearah inovasi ACES iaitu masa hadapan pemanduan sendiri, terhubung, teknologi elektrik dan perkongsian.

“Sangat mudah untuk melupakan dan mengambil ringan keseronokan memandu dan apa keistimewaannya untuk berada di belakang roda stereng sebuah kereta. Hari Memandu sedunia adalah komitmen Jaguar bagi meraikan saat penting bagi lelaki dan wanita setiap tahun. Tahun ini, kami sangat teruja untuk bekerjasama dengan pelajar-pelajar hebat dari Arab Saudi bagi membentuk mobiliti masa hadapan untuk masyarakat seluruh dunia,” kata jurucakap dan pengarah pengalaman pelanggan Jaguar Land Rover, Fiona Pargeter.

Pengumuman pemansuhan larangan memandu untuk wanita di Arab Saudi ini telah pun diumumkan pada September tahun lalu. Ia adalah sebahagian agenda perubahan ekonomi yang dibuat oleh Putera Mahkota Arab Saudi Mohammed bin Salman dalam rancangan yang dikenali sebagai Visi 2030. Visi berkenaan adalah untuk membolehkan wanita bergerak dengan lebih bebas, sekaligus memberikan ruang kepada mereka bagi bersama-sama membangunkan negara.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required