McLaren 600LT paling ganas bagi Sport Series, 600 PS

McLaren 600LT paling ganas bagi Sport Series, 600 PS

McLaren 600 LT adalah model terbaru yang didedahkan oleh pengeluar yang berasal dari British ini, dan ia juga adalah McLaren keempat yang menggunakan nama ‘LT’ atau ‘Longtail’. Model lain yang menggunakan nama LT sebelum ini termasuk McLaren F1 GTR LT serta 675LT Coupe dan Spider.

Seperti juga model-model LT tersebut, 600LT ini menerima pelbagai tambahan kelengkapan untuk memberikan lebih kepuasan kepada pemandu serta dinamik yang lebih seperti kereta lumba. Dalam kata mudah, ia adalah kereta paling ekstrem dalam barisan Sport Series permulaan yang ditawarkan oleh syarikat itu. Jika mahu sesuatu yang lebih, pelanggan perlu pergi kepada Super Series yang termasuk model 720S.

Banyak fakta dan nombor yang berbeza bagi kenderaan ini, tetapi kita mulakan dulu dengan rupanya. 600LT ini mungkin nampak seperti 570S Coupe yang ditambah serinya, tetapi McLaren memberitahu lebih 23% bahagian adalah berbeza dan badan 600LT 74 mm lebih panjang berbanding 570S Coupe.

McLaren 600LT paling ganas bagi Sport Series, 600 PS

Penyebab utamanya adalah ia menggunakan badan gentian karbon baru yang termasuk splitter hadapan, side sill, tambahan diffuser dan sayap belakang yang tetap – semua ini memberikan ciri aerodinamik lebih baik. Bahagian selebihnya daripada 23% itu turut digunakan untuk mengurangkan berat kepada 1,247 kg, iaitu 96 kg lebih ringan berbanding 570S Coupe.

Meskipun dengan semua perubahan ini, agak sukar untuk tidak membandingkan 600LT dengan 570S. Untuk memastikan perbezaannya lebih jelas, 600LT menggunakan ekzos yang keluar di atas, hanya beberapa sentimeter di belakang pemandu dan bunyinya pasti lebih mudah didengari dari dalam kabin.

Bunyi itu akan datang daripada enjin V8 3.8 liter twin turbo M838T versi lebih berkuasa, dengan kemampuan keseluruhannya berjumlah 600 PS dan 620 Nm tork. Kedua-dua jumlah ini melebihi apa yang ditawarkan oleh 570S, dan penyebab utamanya adalah sistem penyejukan yang diperbaik dan pengurangan back pressure pada sistem ekzos.

Untuk memastikan prestasi lain juga padan dengan kuasa yang dihasilkan, 600LT didatangkan terus dengan tayar Pirelli P Zero Trofeo R, suspensi double-wishbone aluminium, brek daripada 720S, stereng yang lebih cepat, tindak balas pedal lebih pantas dan tapak enjin lebih kuat.

Kelengkapan yang lebih fokus kepada prestasi trek ini turut dibawa ke bahagian kabin di mana ia menggunakan tempat duduk lumba binaan gentian karbon dengan balutan Alcantara daripada model P1. Mereka yang lebih mampu boleh memilih pemegang bawah ringan daripada Senna ataupun pelbagai barangan lain daripada McLaren Special Operations (MSO).

Berkenaan harga, McLaren 600LT dijual pada harga 185,500 pound sterling (RM980,977), dan setip unit akan dipasang dengan tangan di pusat pengeluaran McLaren di Woking. Menurut McLaren, model ini akan dikeluarkan dalam jumlah yang terhad dan pengeluaran akan berjalan cuma dalam masa 12 bulan, bermula Oktober 2018.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Durrani Sharom

Mempunyai latar belakang yang pelbagai termasuk sebagai pengurus tapak, pemandu van/lori dan pelbagai lagi, Durrani akhirnya masuk ke dalam bidang penulisan automotif lapan tahun lalu. Apa sahaja yang beroda dan berenjin membuatkan beliau teruja dan beliau percaya ‘mesin pengangkutan' ini sepatutnya adalah sesuatu yang mampu memberikan pengalaman menyeronokkan kepada penggunanya.

 
 

Add a comment

required

required