Kementerian Pengangkutan akan mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang terlibat di dalam mengeluarkan lesen kopi-o atau lesen terbang, tidak kira ia dari pihak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) atau dari sekolah memandu, lapor The Sun.

Menurut menterinya, Anthony Loke, masih ada lagi pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab mempromosi aktiviti seperti ini, dan kementerian komited untuk menamatkan amalan seperti ini sepenuhnya. Beliau berkata, jika pelakunya adalah sekolah memandu, lesen institusi itu akan dibatalkan jika di dapati bersalah. Manakala, sekiranya pelaku ialah pegawai JPJ sendiri, mereka akan dipecat.

“Ketika ini masih ada lagi segelintir pihak yang mengiklankan aktiviti seperti ini di media sosial, mempromosi perkhidmatan mereka untuk membantu orang ramai mendapatkan lesen memandu dengan cara mudah tanpa melalui prosedur sepatutnya. Untuk ini, sesiapa saja yang terlibat akan dikenakan tindakan tegas, melibatkan siasatan pihak polis,” ujarnya.

Kementerian itu juga telah mengumumkan rancangan untuk mewujudkan sistem memandu secara automasi, yang akan mengurangkan gangguan individu berkaitan dan mematikan budaya lesen kopi-o atau pakej sampai lulus yang diamalkan sejak lama dulu.

Sistem berkenaan, yang dijangka diperkenalkan seawal tahun hadapan, hanya memerlukan calon pemandu mengambil ujian memandu mereka tanpa kehadiran pegawai penilai duduk disebelah. Calon sebaliknya akan dinilai melalui beberapa kamera oleh pegawai penilai yang duduk di bilik kawalan.