Pada Februari lalu, TC Subaru Sdn Bhd, pengedar utama Subaru di Malaysia, telah mengumumkan model Outback 2018 akan dibawa masuk ke pasaran tempatan, malah menariknya, ia dilengkapi dengan teknologi pemanduan EyeSight yang terdiri dari sistem brek pra-pelanggaran, Kawalan kelajuan adaptif, sistem pengurusan pendikit pra-pelanggaran, amaran keluar laluan, Lane Sway Warning dan juga amaran kereta hadapan mula bergerak.

Malah tempahannya juga telah mula dibuka sejak Februari lalu dan hari ini, Subaru Outback 2.5i-S 2018 secara rasminya telah pun dilancarkan di pasaran Malaysia.

Outback 2.5i-S 2018 ini dijanakan oleh enjin 2.5 liter boxer empat-silinder dengan hamburan kuasa 175 PS pada 5,800 rpm dan tork 235 Nm pada 4,000 rpm. Ia turut dipadankan dengan transmisi Lineartronic CVT tujuh-kelajuan dengan mod manual dan menurut Subaru, respon pendikitnya telah dipertingkatkan bagi memberikan rasa pendikitan yang lebih sporty. Selain itu, ia turut ditampilkan dengan pacuan empat-roda menerusi sistem Subaru Symmetrical All-Wheel (S-AWD).

Untuk menjadikan pemanduan Outback ini lebih sejati, ia turut didatangkan dengan sistem STABLEX-Ride untuk kestabilan stereng dan kualiti pengendalian yang lebih jitu dengan mengurangkan gegaran badannya. Malah seperti Forester dan XV baharu, Outback ini juga hadir dengan sistem X-Mode yang memberikan keupayaan pacuan off-road yang dipertingkatkan.

Ciri-ciri luaran yang ditampilkan termasuklah lampu utama LED dengan lampu nyalaan siang LED berbentuk-C, bumbung matahari berkuasa, active grille shutter dan roda aloi 18-inci. Lampu hadapan SUV ini bukan sahaja menerima fungsi automatik on/off, malah ia turut berpusing mengikut arah putaran stereng.

Di dalamnya, ia menampilkan sistem infotainmen skrin sesentuh lapan-inci baharu dengan ketersambungan Android Auto dan Apple CarPlay. Malahan turut menampilkan sistem bunyi Harman/Kardon pengesan suara yang telah ditambah baik, bagi mempertingkatkan lagi sistem hiburan.

Selain itu, ia turut dilengkapi dengan sistem sistem penghawa dingin dua-zone bersama liang tambahan untuk bahagian belakang, port USB bahagian belakang, tempat duduk berkuasa untuk pemandu bersama fungsi memori, brek parkir elektronik, sistem kunci pintar dengan butang penghidup enjin, kemasukan dengan kod pin, pintu taligate berkuasa dan pedal penukar gear.

Bagi elemen keselamatan, Outback ini dilengkapi dengan tujuh-beg udara (dua hadapan, sisi, tirai dan lutut pemandu), Vehicle Dynamics Control (VDC), pemantau titik buta, bantuan mula mendaki, Active Torque Vectoring selain EyeSight yang disebutkan di atas.

Outback 2018 ini diberikan tiga pilihan warna iaitu Wilderness Green Metallic, Crimson Red Pearl dan Oak Brown Pearl. Ia ditawarkan dengan harga dari RM246,188.40 berdasarkan 10% cukai jualan dan perkhidmatan (SST) dan tanpa insurans. Ia turut didatangkan dengan waranti selama lima-tahun/100,000 km dan lima-tahun percuma bagi kos buruh.