Mazda 6 facelift 2018 pertama kali ditunjukkan sepenuhnya kepada dunia hujung tahun lalu semasa Los Angeles Auto Show 2017, dan kini ia telah dipertontonkan di Malaysia. Bermaz Motor Sdn Bhd selaku pengedar eksklusif Mazda di Malaysia telah mendedahkan empat varian sedan segmen D ini yang akan dibawa ke Malaysia iaitu 2.0L Sedan petrol, 2.5L Sedan petrol, 2.5L Touring petrol dan 2.2L Sedan diesel. Walaupun begitu, harganya masih belum diberitahu.

Melihat kepada bahagian luarnya, Mazda 6 facelift 2018 dijadikan lebih elegan dengan muka yang direka semula – termasuk gril baru dengan keliling krom yang bersambung ke bahagian bawah lampu (sebelum ini ke bahagian atas), lampu LED hadapan dengan grafik baru, lampu siang LED yang direka semula, bukaan udara penjuru bampar yang lebih tajam serta rekaan rim 19 inci baru (untuk 2.5L dan 2.2L).

Pergi ke belakang pula, kereta ini menggunakan rekaan lampu baru, bersama kemasan krom yang bersambung dengannya dari tengah. Bahagian bawah bampar juga kini tiada kemasan yang berwarna hitam, dan muncung ekzos menggunakan rekaan baru dan diletakkan lebih ke penjuru.

Perubahan pada bahagian dalam adalah lebih komprehensif, dengan penggunaan papan pemuka yang lebih leper dan mendatar, skrin infotainmen Mazda Connect yang dibesarkan kepada lapan inci dan diletakkan lebih tinggi, butang kawalan pendingin hawa baru serta tempat duduk hadapan yang telah direka semula dengan bentuk yang lebih lebar, lebih berketumpatan tinggi, dan menggunakan span urethane yang lebih menyerap gegaran.

Antara teknologi baru yang ditawarkan pada model 2018 ini adalah monitor yang memaparkan imej 360-darjah, paparan tolok TFT LCD Multi Info bersaiz 4.6 inci serta paparan ‘head-up’ Active Driving Display ke cermin hadapan. Semua ciri ini bagaimanapun hanya tersedia untuk varian 2.5L dan 2.2L.

Melihat kepada ciri keselamatan, semua varian Mazda 6 2018 ini dilengkapi dengan enam beg udara, brek ABS, EBD, BA, Dynamic Stability Control (DSC), Traction Control System (TCS), Emergency Stop Signal (ESS), Hill Launch Assist (HLA), Auto Hold Function dan cagak Isofix. Turut dikekalkan adalah sistem G-Vectoring Control (GVC) seperti sebelum ini.

Klik untuk besarkan

Bagi varian 2.5L dan 2.2L, ia kemudiannya ditambah lagi dengan ciri baru yang termasuk lampu LED Adaptive, Blind Spot Monitoring (BSM), Rear Cross Traffic Alert (RCTA), Lane Departure Warning (LDW), Lane Keep Assist System, Driver Attention Alert (DAA) dan Smart City Brake Support (SCBS).

Pergi kepada enjin, varian asas 2.0L menggunakan unit SkyActiv-G empat silinder petrol 1,998 cc berkuasa 162 hp dan 213 Nm tork, varian 2.5L menggunakan unit SkyActiv-G empat silinder petrol 2,488 cc berkuasa 192 hp dan 258 Nm tork manakala varian 2.2L menggunakan unit SkyActiv-D empat silinder diesel 2,191 cc berkuasa 188 hp dan 450 Nm tork. Semua enjin ini dipadankan dengan transmisi automatik SkyActiv-Drive enam kelajuan yang menghantar kuasa ke tayar hadapan.

Walaupun harga masih belum disiarkan, Mazda 6 2018 ini akan didatangkan dengan jaminan lima tahun atau 100,000 km, serta pakej penyelenggaraan percuma selama tiga tahun atau 60,000 km.