Selain SUV Santa Fe, ruang pameran Hyundai di acara GIIAS 2018 turut disertai dengan sebuah lagi model yang juga tidak asing lagi di Malaysia, Hyundai Grand Starex versi wajah baru. Di Indonesia, model ini dikenali sebagai H-1.

Pasaran Malaysia pernah menyaksikan beberapa versi facelift sebelum ini. Tetapi, untuk peringkat global, itu dilakukan hanya sekali sejak model ini diperkenalkan pada 2007. Kini ia muncul dalam facelift yang terbaru sekali lagi.

Grand Starex dalam penampilannya yang terbaru ini menerima pembaharuan di depan; tidak lagi menggunakan lampu utama susunan menegak seperti dulu, sebaliknya hadir dengan lampu utama LED projektor trapezoid melintang. Gril besar masih lagi kekal dengan saiz seperti sebelumnya.

Ruang masukan udara di bawah turut direka semula (dengan DRL LED), sementara bonet pula lebih tinggi untuk memberikan perlindungan yang lebih baik terhadap pejalan kaki sekiranya berlaku kemalangan. Bahagian belakang pula masih kekal sama, kecuali bampar bawah serta lampu belakang yang hadir dengan rekaan baru. Varian Elegance yang paling asas dipasangkan tayar 215/70 R16 manakala varian lebih tinggi seperti XG dan Royale menggunakan saiz 235/60 R17.

Dengan bahagian luaran yang menerima perubahan sama seperti versi yang diperkenalkan untuk pasaran Korea Selatan Disember lalu, ruang dalaman pula lain ceritanya. Versi di Indonesia ini tidak menerima papan pemuka terbaru yang ditawarkan untuk pasaran domestik di Korea.

Model ini ditawarkan dengan pilihan enjin termasuk Theta II 2.4 litre MPI petrol dan A2 2.5 litre CRDi turbodiesel (170 PS/441 Nm). Harga di Indonesia ialah dari Rp 487 juta (RM137,565) bagi XG petrol hingga Rp 599 juta (RM169,132) bagi Royale CRDi. Adakah Starex dengan wajah baru ini turut akan sampai di Malaysia?