Skoda Kodiaq RS – SUV 7-tempat duduk paling pantas di Nurburgring, 2.0L diesel twin turbo, 240 PS/500Nm

Skoda Kodiaq RS – SUV 7-tempat duduk paling pantas di Nurburgring, 2.0L diesel twin turbo, 240 PS/500Nm

Tak ramai di Malaysia kenal jenama Skoda, namun sebenarnya pembuat automotif dari Republik Czech berkenaan mempunyai warisan sejarah sukan permotoran yang agak terkenal khususnya dalam disiplin rali. Untuk model jalan raya biasa, Skoda turut mempunyai lencana ‘RS’ yang diberikan pada versi berprestasi tinggi, dan terbaharu, ia diberikan pada model SUV iaitu Skoda Kodiaq RS yang diperkenalkan di Paris Motor Show 2018.

Bagi membuktikan ia benar-benar sebuah SUV yang laju, Skoda Kodiaq RS ini telah di bawa ke litar Nurburgring Nordschleife bagi mencatatkan rekod. Dipandu oleh ‘Queen of the Ring’ Sabine Schmitz yang juga hanya satu-satunya wanita yang pernah memenangi perlumbaan 24-jam di litar berkenaan, Kodiaq RS berjaya mencatatkan masa lap terpantas 9 minit 29.84 saat.

Rekod tersebut jika dibandingkan dengan SUV Alfa Romeo Stelvio Quadrifoglio (7 minit 51.7 saat) sememangnya agak ketinggalan, namun Kodiaq RS kini sah dinobatkan sebagai SUV tujuh-tempat duduk paling pantas di litar ‘The Green Hell’ itu.

SUV ini dijana oleh enjin diesel 2.0 liter dengan dua pengecas turbo, membolehkan ia menghasilkan kuasa 240 PS dengan tork maksima 500 Nm yang boleh dicapai bermula 1,750 hingga 2,500 rpm, menjadikan ia sebagai enjin diesel produksi paling berkuasa pernah dihasilkan Skoda.

Skoda Kodiaq RS – SUV 7-tempat duduk paling pantas di Nurburgring, 2.0L diesel twin turbo, 240 PS/500Nm

Digandingkan dengan kotak gear klac berkembar automatik DSG tujuh-kelajuan, SUV ini mampu untuk memecut dari kedudukan pegun hingga 100 km/j dalam masa hanya 7 saat, sebelum mencapai kelajuan maksima 220 km/j. Kotak gear ini turut mempunyai fungsi coasting yang akan memutuskan kuasa dari enjin ke transmisi, membolehkan ia berlayar dengan lebih jimat bahan api dalam mod Eco.

Buat pertama kali juga Skoda telah memperkenalkan Dynamic Sound Boost (DSB) pada model ini, yang menurut mereka ia memberikan “pengalaman berkarekteristik dan akustik emotif” pada bahagian dalam dan luar kabin. Fungsi tersebut menghasilkan bunyi yang spesifik, yang mengambil kira bunyi semula jadi dari sistem ekzos dan juga profil bunyi enjin yang diperhalusi, menurut Skoda. DSB ini berfungsi bersama Driving Mode Select yang memberikan pilihan profil Comfort, Normal, Sport dan Eco.

Bagi sistem pacuan semua roda pula, ia dilengkapkan dengan klac pelbagai lapisan elektronik dan juga electronic differential lock yang sentiasa membuat kiraan bagi menghantar tork yang sepatutnya pada setiap roda. Sistem ini mampu untuk untuk menghantar tork sehingga 85% ke roda tertentu secara individu sekiranya diperlukan.

Untuk pengendlian, SUV ini diberikan sistem Kawalan Casis Dinamik (DCC) yang akan melaras spring dan penyerap hentak bagi disesuaikan dengan permukaan jalan dan juga gaya pemanduan. Enam talaan berbeza telah ditetapkan iaitu Eco, Comfort, Normal, Sport, Individual dan Snow. Ia turut menerima sistem stereng progresif yang akan mengadapatasi nisbah stereng bagi disesuaikan dengan kelajuan semasa, dan mengurangkan daya stereng pada kelajuan rendah/parkir.

Bagi membezakan model lebih buas ini berbanding versi standard, model RS berkenaan diberikan bampar hadapan dan belakang istimewa, bersama kemasan hitam berkilat pada gril, penutup cermin sisi, kerangka tingkap, dan juga rel bumbung. Bampar belakang diberikan dengan reflektor panjang, dan turut menempatkan dua tip ekzos yang menonjol. Rim “Xtreme” bersaiz 20-inci menghiasi keempat-empat sudut, manakala logo vRS (v bermaksud victory) diletakkan pada hadapan dan belakang.

Kabin SUV ini diserikan dengan tempat duduk sport bersama panel pintu yang balut Alcantara bersama motif gentian-karbon, dan juga serlahan jahitan merah, elemen rekaan berlian bersilang serta sulaman logo vRS pada perehat badan. Logo yang sama turut diletakkan pada roda stereng dan tombol gear, manakala panel instrumen Virtual Cockpit diberikan latar belakang karbon. Kemasan-kemasan gentian karbon juga boleh ditemui pada papan pemuka.

Ciri-ciri standard lain yang turut dibekalkan pada SUV ini adalah logo Kodiaq pada bendul pintu, pakej LED untuk lampu suasana, pelapik bumbung berwarna hitam dan juga pelapik-pelapik pedal dari material logam tahan karat. Skoda Kodiaq RS ini turut boleh dipilih dalam versi lima tempat duduk yang menyediakan ruang but dengan kapasiti 600 liter.


Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required