Dari segi rupa, Hyundai i30 N sememangnya tidak se’gila’ Honda Civic Type R di mana hot-hatch dari Korea berkenaan tampi lebih minimalis seperti Volkswagen Golf GTI. Namun bagi mereka yang mahukan i30 N yang lebih buas, harapan tersebut akan menjelma tidak lama lagi kerana Hyundai telah mendedahkan i30 ‘N Option’ di Paris Motor Show 2018, yang menampilkan kelengkapan visual yang mungkin akan ditawarkan pada masa hadapan.

Berbanding model i30 N standard, model N Option ini hadir lebih ganas dengan 25 kelengkapan tambahan untuk bahagian luaran dan dalaman – yang mungkin akan diproduksi pada terdekat. Bahagian hadapan kereta ini menerima hud enjin dengan liang udara dan diperbuat dari material gentian karbon, serlahan merah pada keliling bawah gril hadapan N dan juga splitter yang mengarahkan terus aliran udara ke liang sisi bampar hadapan.

Beralih ke tepi, skirt sisi baharu pada kereta ini menampilkan splitter udara pada bahagian hadapan dan juga liang yang kelihatan akan mengalirkan udara ke bahagian dalam ruang roda belakang. Ia juga diberikan set rim ringan berdiameter 20-inci pelbagai jejari, dibaluti tayar dari jenis semi-slick. Tidak dinyatakan secara rasmi, namun imej yang disiarkan menampakkan bahawa kereta ini menerima set brek lebih besar bersama cakera berliang ditebuk.

Bahagian belakang kereta ini turut kelihatan lebih menyerlah apabila diberikan sayap bumbung lebih besar diperbuat dari gentian karbon lengkap dengan logo N, diffuser lebih agresif juga dari gentian karbon serta tip ekzos berbentuk segi empat berbanding bulat pada model standard. Kereta yang dipaparkan ini juga menampilkan warna badan jenis matte istimewa, bersama grafik Hyundai N.

Gaya agresif turut dibawa ke kabin dengan serlahan karbon hitam diberikan pada bahagian papan pemuka, liang penghawa dingin, roda stereng dan kemasan pada pemegang pintu. Tempat duduk asal juga telah digantikan dengan tempat duduk bucket yang lebih ringan, dengan upholsteri Alcantara (turut membaluti roda stereng) serta serlahan jalur merah di tengah. Selain itu, bahagian ini juga menerima set pedal dan tombol gear lebih sporty dan juga perincian-perincian kecil lain.

Tiada perubahan mekanikal dinyatakan pada model istimewa ini. Dalam versi produksi sedia ada, Hyundai i30 N dijana oleh enjin petrol 2.0 liter turbo empat silinder T-GDI dengan dua talaan; model standard berkuasa 250 PS manakala model dengan Performance Pack menghasilkan 275 PS. Kedua-duanya dibekalkan dengan tork yang sama iaitu 353 Nm dan juga kotak gear manual enam-kelajuan. Model paling berkuasa mampu memecut dari 0-100 km/j dalam masa hanya 6.1 saat sebelum mencapai kelajuan maksima 250 km/j.

GALERI: Hyundai i30 N