Model 1290 Super Duke GT dan Super Duke R telah diperbaharui oleh KTM untuk tahun 2019. Bermula dengan model sports tourer GT, anda boleh melihat grafiknya telah diubah, selain mempunyai penghadang angin baru yang lebih aerodinamik dan boleh dilaras dalam beberapa kedudukan menggunakan satu tangan dengan lebih mudah.
Pembaharuan yang lebih utama pada model ini sebenarnya adalah pada bahagian panel instrumen, di mana ia kini menggunakan unit skrin TFT berwarna penuh bersaiz 6.5 inci yang mempunyai paparan eksklusif serta masih mudah dilihat walaupun bawah cahaya terik matahari. Ia juga boleh disambung dengan aplikasi KTM MY RIDE untuk sistem navigasi dan aplikasi lain.
Enjin model ini masih lagi sama iaitu unit dua silinder V 75 darjah 1,301 cc LC8, tetapi dinaik taraf dengan kebuk resonator, injap kemasukan serta pemetaan yang baru, sekaligus mampu menghasilkan kuasa sebanyak 175 hp dan 141 Nm tork. Prestasi model ini dikatakan lebih lancar pada rpm rendah, dan turut dilengkapi dengan Quickshifter+, membuatkan penukaran naik dan turun gear lebih mudah tanpa menggunakan klac.
Pergi kepada model 1290 Super Duke R pula, pembaharuan yang diberikan untuk tahun 2019 ini lebih ringkas, iaitu cuma pada penampilannya sahaja, dan kini ditawarkan dalam pilihan dua warna iaitu hitam dan putih. Sebabnya, model ini sudah cukup berpotensi dan mempunyai barangan yang hampir lengkap bagi sebuah model naked sports.
Enjin yang digunakan sama seperti 1290 Super Duke GT, tetapi kuasanya adalah lebih, menjadi 177 hp dan ia turut dilengkapi pelbagai ciri lain seperti brek Brembo, Motorcycle Stability Control yang termasuk cornering ABS, suspensi WP boleh laras, Quickshifter+, panel instrumen TFT dan pelbagai lagi.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.