Valtteri Bottas: pelumba Finland yang suka adrenalin

Valtteri Bottas: pelumba Finland yang suka adrenalin

Tahu tak apa perkara yang paling digemari oleh pelumba F1 kelahiran Finland, Valtteri Bottas, tentang Malaysia? Bagi seseorang yang membesar di negara dengan suhu sejuk seperi itu, kehangatan cuaca di sini menjadi satu hal yang sangat-sangat dihargainya – kecuali mungkin udara lembap yang hadir sekali.

Valtteri lahir pada 28 Ogos 1989 dan mula menceburi sukan permotoran pada usia seawal enam tahun, dengan menyertai perlumbaan go-kart. Selepas melakar banyak kejayaan, termasuk sebagai juara tujuh tahun bersama pasukan kebangsaan Finland, beliau mula beralih dan naik setakuk lagi untuk berlumba di dalam siri Formula pula.

Beliau memenangi kedua-dua perlumbaan bagi Formula Renault Eurocup dan Formula Renault Northern European bagi tahun 2008, mengungguli 17 daripada 28 perlumbaan. Selain itu, beliau juga sempat meluangkan masa berlumba di dalam siri Formula 3 sebelum menggalas tanggungjawab sebagai pemandu uji bagi pasukan Williams di dalam Formula 1 pada 2010.

Kemudian, pada tahun 2013, Valtteri membuat penampilan pertamanya di dalam F1. Antara pencapaiannya sejurus selepas itu ialah menamatkan perlumbaan dikedudukan keempat dan kelima bagi Kejuaraan Pemandu bagi tahun 2014 dan 2015, sebelum meraih kemenangan sulungnya pada 2017 di Socchi (Russia) bersama Mercedes-AMG PETRONAS Motorsport. Dengan rekod prestasi yang mengkagumkan, beliau kemudiannya berpeluang untuk berlumba bersama rakan sepasukan, Lewis Hamilton, yang dianggap sebagai pemandu terbaik F1 setakat ini.

Valtteri Bottas: pelumba Finland yang suka adrenalin

Bagaimana agaknya perasaan untuk berlumba sejak usia muda? Seronok atau tidak sekiranya kita boleh memilih kenderaan apa yang hendak dipandu setiap hari? Dan, jangan tak tahu, pada satu ketika Valtteri mempunyai seekor anjing yang dinamakan sempena Rubens Barrichello! Baru-baru ini kami berpeluang berbual dengan beliau melalui telefon untuk bertanyakan tentang hal-hal ini dengan lebih lanjut. Ikuti petikan perbualan berkenaan.

PT: Secara ringkasnya, boleh ceritakan perjalanan anda berlumba di dalam F1 setakat ini, bermula dari siri perlumbaan Formula tempatan hinggalah ke peringkat dunia?

VB: Dulu masa kecil, saya ada sebuah go-kart terpakai yang menjadi go-kart pertama. Saya akan berlatih bersungguh-sungguh, hampir setiap hari tak kira cuaca panas, hujan atau bersalji. Cuma, saya agak bertuah kerana dari usia muda, ibu bapa sering membawa saya ke litar, dan saya fikir itu banyak membantu untuk saya mempertingkatkan kemahiran. Saya sentiasa ingin lebih pantas pada setiap pusingan, jadi saya akan cuba cara berbeza untuk mencapainya.

Tak lama selepas itu, saya dapat tajaan yang kemudiannya membolehkan saya untuk melangkah lebih jauh dalam kerjaya ini. Tetapi saya wajib meyakinkan mereka untuk terus bersama saya, dan untuk itu saya perlu membuktikannya dengan keputusan yang bagus. Seterusnya, saya naik satu per satu anak tangga ke tahap yang lebih tinggi. Ia tak selalunya mudah, bukan selalu saya jadi juara, tetapi persaingan yang diberikan sangat sengit dan untuk berjaya naik kemudiannya – sehingga ke siri Eropah – itu pengalaman yang sangat mengujakan.

Valtteri Bottas: pelumba Finland yang suka adrenalin

PT: Macam mana anda dapat yakinkan keluarga bahawa anda ingin mengejar impian untuk jadi pelumba?

VB: Sebetulnya saya tak perlu meyakinkan mereka, kerana mereka sendiri dapat melihat betapa seronok dan asyiknya saya bila dapat memandu kereta dan berlumba – dengan semua emosi yang dapat saya rasakan ketika perlumbaan akan terpancar diwajah saya dengan sendirinya.

Kadang-kadang ayah akan bertanya; “Kamu betul-betul yakin ingin berlumba secara serius?” Saya kemudiannya akan menjawab; “Kamu sedang melawak ke? Ini saja perkara yang ingin saya lakukan.”

PT: Anda pernah ada seekor anjing yang namanya Barrichello. Boleh cerita sedikit apa kisah di sebaliknya?

VB: Ya, betul. Keluarga kami pernah memiliki anjing jenis Labrador. Ketika saya dilahirkan, kami ada seekor bernama Rene, nama yang diambil dari Rene Arnoux. Selepas itu ada pula seekor lagi, dan kami berikan nama Ruben, sempena nama Ruben Barrichello!

PT: Mengapa pilih nombor 77 untuk perlumbaan? Ada apa-apa keistimewaan?

VB: Tak ada cerita atau sebab tertentu yang istimewa. Kebetulan dulu saya berlumba go-kart dengan nombor 77, dan saya memang sukakan nombor tujuh. Jadi ia kekal begitu sejak dulu.

PT: Anda telah banyak kali menduduki kedudukan pertama ketika bersama Mercedes-AMG PETRONAS Motorsport – petak pertama, kemenangan pertama. Apa lagi yang anda ingin capai bersama pasukan ini?

VB: Lebih banyak kejuaraan. Itu saja.

Valtteri Bottas: pelumba Finland yang suka adrenalin

PT: Ada pesanan yang boleh diberikan kepada pelumba-pelumba muda yang turut sama ingin mengejar impian mereka menjadi pelumba?

VB: Apa yang boleh saya katakan, sekiranya anda mempunyai minat mendalam terhadap sesuatu sukan, teruskan sahaja hasrat itu dan pastikan anda menyukainya. Jika anda suka apa yang anda lakukan, anda akan bekerja keras untuk melakukan yang terbaik. Jangan pernah berhenti meyakini diri sendiri. Seperti dalam F1, sesetengah orang mengatakan bahawa semua yang terlibat di dalamnya merupakan pemandu-pemandu yang bagus, dan sukar untuk menyertai kelompok itu. Tetapi, sejak kecil, saya selalu berfikir bahawa ada 20 pemandu dalam F1; jadi ada banyak ruang untuk terlibat sama dan semua itu tak mustahil. Apa saja boleh dikecapi asalkan anda menginginkannya.

PT: Apa kereta kegemaran anda sepanjang zaman, dan apa yang ada di dalam garaj persendirian anda ketika ini?

VB: Kereta kegemaran saya sebenarnya belum wujud sepenuhnya ketika ini; Mercedes-AMG Project One. Dalam garaj, saya hanya memiliki sebuah kereta sahaja sekarang. Saya selalunya hanya akan ada sebuah kereta dalam satu-satu masa, dan sekarang saya memandu Mercedes-AMG GT S.

Valtteri Bottas akan berlumba bersama pasukan Mercedes-AMG PETRONAS Motorsport bagi musim 2019, dengan kontraknya dijangka dilanjutkan sehingga 2020.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Hazril Hafiz

Berkecimpung di dalam media automotif tempatan sejak 10 tahun lalu, Hafiz mengimpikan sebuah Malaysia dengan jaringan sistem pengangkutan awam yang lebih cekap dan menyeluruh. Tugas terakhirnya sebelum menyertai laman web ini ialah sebagai editor sisipan automotif sebuah akhbar arus perdana.

 
 

Add a comment

required

required