Didedahkan buat julung kalinya sebagai hatchback lima-pintu, Kia Cerato GT dalam bentuk sedan pula diperkenalkan di Korea Selatan, yang dikenali sebagai K3 GT. Sama seperti model hatchback, varian sedan ini juga menerima enjin yang lebih berkuasa dan juga beberapa orientasi prestasi yang lain.

Di bawah bonetnya, terletak enjin petrol 1.6 liter Gamma pengecas turbo suntikan-terus (T-GDI) empat-silinder, sama seperti Ceed GT. Ia mampu menghasilkan kuasa sehingga 204 PS pada 6,000 rpm dan tork 265 Nm dari 1,500 hingga 4,500 rpm, dan tidak seperti model bagi pasaran Eropah yang hanya ditawarkan dengan kotak gear manual enam-kelajuan – Cerato GT ini hanya didatangkan dengan transmisi dwi-klac tujuh-kelajuan.

Casisnya juga telah dipertingkatkan dan kini dipadankan dengan suspensi multilink belakang sport berbanding model standard dengan larasan palang torsion; bersama dengan gegelung yang disemak semula, sekaligus menambah keselasaan pemanduan dan kestabilan di selekoh. Sementara, nisbah stereng juga lebih pantas bagi meningkatkan lagi respons, dan turut didatangkan dengan cakera brek hadapan yang lebih besar untuk membantu meningkatkan kuasa dan tork.

Lain-lain penambahbaikan termasuk empat mod pemanduan (Eco, Sport, Comfort dan Smart), Electronic Sound Generator (ESG) dan tayar Michelin Pilot Sport yang membaluti roda aloi pelbagai-jejari 18-inci. Kia turut menawarkan pilihan pakej talaan merangkumi Bilstein monotube dampers dan gegelung yang lebih keras, palang anti-olengan dan control arms, bersama brek hadapan yang lebih besar.

Bagi bahagian luarannya, Cerato GT digandingkan dengan gril krom gelap, skirt sisi, diffuser belakang hitam berkilat dan dwi corong ekzos. Di dalamnya pula, kelihatan roda stereng leper-di bawah dengan logo GT, tempat duduk bucket, pedal aloi dan sistem pencahayaan ambien enam-warna, dengan paten dot.

Kia turut menaiktaraf barisan K3 di Korea untuk model 2019. Semua model kini menerima Amaran Pelanggaran Hadapan dan Bantuan Mengelak (FCW/FCA), Bantuan Kekal Lorong (LKA), Amaran Ketibaan Lorong (LDW), Amaran Perhatian Pemandu (DAW) dan Bantuan Lampu Tinggi (HBA) secara standard, dan Kawalan Kelajuan Pintar adaptif (SCC) dan Amaran Pelanggaran Titik Buta (BCW) juga dimasuk dalam senarai pilihan.

GALERI: Kia Cerato GT hatch