Toyota Camry 2018 dilancar di Thailand – empat varian termasuk hibrid 211 PS, harga dari RM181k ke RM226k

Toyota Camry 2018 dilancar di Thailand – empat varian termasuk hibrid 211 PS, harga dari RM181k ke RM226k

Toyota Camry serba baru sudah pun dilancarkan di Thailand, dan ia ditawarkan dalam empat varian iaitu 2.0G AT, 2.5G AT, 2.5 HV AT dan 2.5 HV Premium AT. Harganya di sana adalah bermula dari 1,445,000 baht (RM181,427) untuk model asas 2.0G AT dan pergi sehingga 1,799,000 baht (RM225,873) untuk varian 2.5 HV Premium AT.

Di bawah hud, varian 2.0G AT mendapat kuasa daripada enjin empat silinder NA 2.0 liter 6AR-FBS yang menghasilkan 167 PS pada 6,500 rpm dan 199 Nm tork pada 4,600 rpm, dipadankan bersama kotak gear automatik enam kelajuan. Enjin ini masih lagi menggunakan teknologi VVT-iW pada bahagian intake (VVT-i pada bahagian ekzos), serta sistem suntikan terus D-4S Toyota.

Pergi ke varian yang lebih tinggi, 2.5G AT kini menggunakan enjin Dynamic Force baru, iaitu unit empat silinder 2.5 liter NA A25A-FKB dengan sistem VVT-iE pada bahagian intake cam untuk memberikan tindak balas lebih baik (VVT-i pada bahagian ekzos) dan D-4S. Enjin ini juga boleh digunakan dengan ethanol E85 seperti enjin 6AR-FBS, dan mampu menghasilkan kuasa 209 PS pada 6,600 rpm dan 250 Nm tork pada 5,000 rpm, dipadankan bersama transmisi automatik lapan kelajuan (FWD).

Toyota Camry 2018 dilancar di Thailand – empat varian termasuk hibrid 211 PS, harga dari RM181k ke RM226k

Bagi dua varian lagi iaitu 2.5HV AT dan 2.5 HV Premium AT, ia menggunakan sumber kuasa hibrid yang terdiri daripada enjin 2.5 liter A25A-FXS dengan kuasa 178 PS pada 5,700 rpm dan 221 Nm antara 3,600 hingga 5,200 rpm, bersama padanan motor elektrik 120 PS/202 Nm, seterusnya menyumbang kepada kuasa keseluruhan sistem 211 PS.

Toyota Hybrid System II (THS II) pada pakej kuasa ini juga termasuk dengan kelengkapan lain seperti transmisi E-CVT dan bateri nickel-metal hydride 6.5 Ah yang terletak di bawah tempat duduk belakang. Ini menghasilkan titik graviti yang rendah tanpa menjejaskan ruang simpanan di belakang, tetapi tangki minyaknya mempunyai kapasiti kurang 10 liter berbanding varian bukan hibrid (60 liter). Camry versi hibrid ini juga boleh menggunakan ethanol E20.

Dengan menggunakan platform Toyota New Global Architecture (TNGA), Camry baru ini mencatat ukuran jarak roda 50 mm lebih panjang (sekarang 2,825 mm) berbanding model sebelum ini; ia juga 35 mm lebih panjang (sekarang 4,885 mm), 15 mm lebih lebar (sekarang 1,840 mm) dan 25 mm lebih rendah (sekarang 1,445 mm). Pada bahagian suspensi, semua varian menggunakan penyerap MacPherson di hadapan dan tetapan double wishbone di belakang.

Toyota Camry 2018 dilancar di Thailand – empat varian termasuk hibrid 211 PS, harga dari RM181k ke RM226k

Melihat kepada bahagian luar, varian 2.0G AT menggunakan rim 16 inci yang dibalut tayar 205/65, bersama lampu utama dan lampu belakang LED. Pergi kepada 2.5G AT pula, rimnya lebih besar iaitu unit 18 inci dengan tayar 235/45 dan ditambah dengan bumbung suria serta dua muncung ekzos. Varian hibrid pula menggunakan rim 17 inci dengan tayar 215/55 serta kemasan krom di beberapa bahagian.

Di dalam, semua varian mendapat tempat duduk hadapan larasan kuasa lapan arah dan dibalut dengan kulit, pengecas tanpa wayar, sistem masuk tanpa kunci dan butang pemula enjin, penghadang cahaya matahari di belakang, serta panel instrumen bersaiz 7.0 inci untuk varian hibrid dan 4.2 inci untuk varian lain.

Kelengkapan paling banyak sudah tentu pada varian paling tinggi, dengan termasuk kawalan pendingin hawa tiga zon, skrin sesentuh untuk mengawal pendingin hawa di perehat tangan belakang, pelaras sokongan tulang belakang pada tempat duduk hadapan, tempat duduk berliang, head-up display, serta sistem infotainmen dengan skrin sesentuh lapan inci yang disambung kepada sembilan pembesar suara JBL.

Varian hibrid juga datang dengan sistem telematik T-Connect yang memberikan pelanggan akses kepada fungsi seperti penunjuk kedudukan kenderaan, peringatan servis dan temu janji, hotspot atas kenderaan, servis concierge, SOS, bantuan tepi jalan dan servis kecemasan.

Semua Camry baru di Thailand ini mendapat sekurang-kurangnya tujuh beg udara iaitu di hadapan, tepi, bidai dan lutut pemandu, kecuali varian 2.5 HV Premium AT yang ditambah lagi untuk menjadikannya sembilan (termasuk tempat duduk belakang). Kelengkapan lain yang diberi adalah VSC, Traction Control, ABS, EBD, BA, Blind Spot Monitor, Rear Cross Traffic Alert, dan Hill-start Assist Control.

Varian paling tinggi bagi Camry ini juga menjadi satu-satunya varian yang diberi dengan pakej Toyota Safety Sense yang termasuk Pre-collision System, Lane Departure Alert, Dynamic Radar Cruise Control dan Automatic High Beam.

Toyota Camry 2018 dilancar di Thailand – empat varian termasuk hibrid 211 PS, harga dari RM181k ke RM226k

Warna yang disediakan sebagai pilihan untuk Camry baru ini adalah Burning Black, Phantom Brown, Graphite Metallic, Attitude Black, Silver Metallic, Premium Red, dan Platinum White Pearl. Pilihan tiga warna yang pertama disebutkan tadi datang dengan bahagian dalam beige manakala warna yang lain menggunakan bahagian dalam hitam.

Di negara kita, Camry baru ini dijangka tiba tidak lama lagi kerana UMW Toyota Motor telah pun mula mengeluarkan teaser atas talian dan membuka pendaftaran bagi sesiapa yang berminat dengan model ini. Syarikat itu juga menyatakan sesuatu yang besar akan berlaku 1 November ini. Jadi, nantikan.



Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Durrani Sharom

Mempunyai latar belakang yang pelbagai termasuk sebagai pengurus tapak, pemandu van/lori dan pelbagai lagi, Durrani akhirnya masuk ke dalam bidang penulisan automotif lapan tahun lalu. Apa sahaja yang beroda dan berenjin membuatkan beliau teruja dan beliau percaya ‘mesin pengangkutan' ini sepatutnya adalah sesuatu yang mampu memberikan pengalaman menyeronokkan kepada penggunanya.

 
 

Add a comment

required

required