Jenama automotif dari China, Geely telah membeli sebuah litar di Amerika Syarikat iaitu Utah Motorsport Campus, atau dikenali sebagai Miller Motorsport Park sebelum ini, lapor Road & Track.

Litar berkenaan telah dibangunkan usahawan tempatan, mendiang Larry Miller pada tahun 2006 dan terletak di pinggir Bandar Salt Lake. Namun, keluarga Miller enggan menyambung kontrak 10-tahun dengan daerah Toole yang telah tamat pada tahun 2015. Mitime, sebuah anak syarikat Geely berusaha untuk membeli hartanah berkenaan bagi menggunakan litar berkenaan sebagai litar ujian dan terus menjalankan acara-acara sukan permotoran.

Selepas kontrak dari keluarga Miller tamat, daerah Toole hanya menawarkan sewaan jangka pendek kepada Mitime dan di bawah pengurusan baharu litar tersebut dinamakan semula sebagai Utah Motorsport Campus (UMC). Namun, setelah menunjukkan kebolehan mereka untuk mengendalikan operasi litar berkenaan, daerah Toole menawarkan penjualan sepenuhnya UMC kepada syarikat induk Metime iaitu Geely.

“Kami teruja kerana akhirnya menyempurnakan perjanjian ini untuk membeli Utah Motorsport Campus,” kata naib presiden Mitime William Lee. “Fasiliti ini adalah sempurna untuk kami dan syarikat-syarikat lain kami, dan kami memandang kehadapan bagi membuatkan ia lebih besar dan lebih baik pada masa akan datang. Kami menghargai usaha daerah Toole bagi membolehkan ia berhasil, dan kami merendah diri dengan sokongan yang kami terima dari masyarakat Utah sejak kami mula beroperasi di fasiliti ini,” tambah Lee lagi.

Dengan kawalan penuh terhadap hartanah seluas 511-ekar tersebut, Geely menyatakan bahawa mereka akan menghormati kontrak sedia ada, perjanjian yang telah dipersetujui, dan pajakan penyewa, namun turut menyebut perubahan mungkin akan dibuat pada 2019.

Sehingga kini, UMC telah mengadakan pelbagai acara berprestij termasuk salah satu pusingan untuk siri Pirelli World Challenge 2019 dan juga Nitro Rallycross Travis Pastrana. Namun litar berkenaan masih lagi tidak mempunyai pengaruh sehebat pesaingnya yang lain sejak kematian Larry Miller pada 2009. CEO UMC, Willem Geyer berharap agar pengaruh Geely akan mengangkat semula status litar berkenaan selepas ini.

“Kami sangat teruja dengan masa depan UMC, dan kami mempunyai rancangan yang signifikant untuk fasiliti ini. Kami sedang mengkaji daya maju bagi menambah pelbagai litar lumba, tempat-tempat hiburan dan infrastruktur sokongan yang bukan sahaja akan mengukuhkan kami sebagai salah satu fasiliti hiburan di Utah, malah turut memastikan UMC akan menjadi usaha yang menguntungkan untuk kali pertama dalam sejarah,” kata Geyer.

Di bawah Geely bukan hanya ada Volvo dan usahasama bersama jenama automotif Malaysia, Proton. Malah Geely turut mempunyai entiti yang serius terhadap prestasi tinggi seperti Lotus, Polestar dan jenama mewahnya Lynk & Co bersama Cyan Racing juga akan berlumba dalam FIA World Touring Car Cup 2019 dengan sedan 03 TCR.