Menurut laporan Asahi Shimbun, pengerusi Nissan, Carlos Ghosn mungkin akan ditahan oleh pihak berkuasa Jepun kerana disyaki tidak melaporkan gaji korporatnya yang berjumlah beratus-ratus juta yen.

Pihak berkuasa negara berkenaan kini sudahpun mula menyiasat ibu pejabat Nissan dan lokasi-lokasi lain terhadap kes jenayah yang disyaki melanggar undang-undang Instrumen Kewangan dan Tukaran Jepun tersebut.

Serentak dengan itu, Nissan telah mengeluarkan kenyataan bahawa mereka akan segera untuk menggugurkan Ghosn dari jawatan pengerusi serta wakil pengarah di Nissan, dengan CEO Nissan Hiroto Saikawa akan mengajukan perkara ini ke lembaga pengarah Nissan.

Turut akan digugurkan adalah wakil pengarah Nissan, Greg Kelly, yang didakwa “terlibat secara mendalam” dalam melaporkan jumlah pampasan laporan sekuriti Bursa Saham Tokyo yang menyatakan jumlah yang kurang dari jumlah sebenar.

Menurut Nissan, mereka telah menjalankan penyiasatan dalaman untuk tempoh berberapa bulan sebelum ini terhadap perlakuan yang tidak sepatutnya membabitkan Ghosn dan Kelly berkenaan, manakala segala maklumat disalurkan terus ke Pejabat Pendakwa Raya Awam Jepun.

Ghosn telah melepaskan jawatannya sebagai presiden dan CEO Nissan tahun lalu, dan kini memegang jawatan sebagai pengerusi untuk jenama Nissan dan Mitsubishi. Beliau juga merupakan pengerusi serta CEO untuk Renault dan juga Pakatan Renault-Nissan-Mitsubishi.

Ghosn yang berasal dari Perancis dikenali sebagai ‘lagenda’ dalam dunia automotif setelah menyelamatkan Nissan dari bankrap serta menstrukturkan semula Renault antara era lewat 90’an dan awal era Y2K.