Sudah berberapa kali Honda Malaysia menayangkan crossover segmen-B HR-V versi facelift sebelum ini, namun bahagian dalamannya tidak didedahkan. Pada Kuala Lumpur International Motor Show (KLIMS) 2018 yang sedang berlangsung di MITEC, bahagian tersebut sudahpun didedahkan, tetapi ia masih lagi diprebiu dan belum dilancarkan secara rasmi.

Pada bahagian luaran, versi yang disegarkan ini menerima muka baharu yang terdiri dari gril yang disentuh semula, lampu hadapan LED penuh jenis reflektor, serta rekaan baharu pada bampar hadapan dan perumah lampu kabus LED. Bahagian belakang turut menerima perubahan menampilkan kemasan krom baharu merentangi pintu tailgate bersama lampu belakang dengan grafik LED jenis tiub.

Honda menayangkan varian baharu HR-V facelift ini di KLIMS 18, iaitu versi RS yang diberikan elemen kontras yang lebih gelap seperti pemegang pintu krom gelap, krom hitam pada kemasan nombor pendaftaran dan juga hitam kilat pada kemasan bendul sisi. Ia juga diberikan rim 18-inci dua-tona lima-jejari, dibaluti tayar 225/50R18 dan warna badan baharu digelar Passion Red Pearl. Menurut Honda Malaysia, warna ini akan ditawarkan untuk semua varian, bukan hanya RS.

Untuk bahagian kabin, ia menerima tempat duduk hadapan yang direka semula bersama elemen kabin dua tona dengan gabungan elemen kelabu cerah dan kelabu gelap. Papan pemukan dan konsol tengah menerima elemen kontras sama seperti versi JDM, tetapi tempat duduk hanya menerima warna tunggal kelabu cerah.

Versi facelift ini akan dilengkapkan dengan kamera undur bersama skrin sesentuh untuk sistem infotaimen, standard untuk semua varian. Namun hanya HR-V RS dibekalkan dengan sistem stereng nisbah bervariasi (VGR). Walau bagaimanapun, semua varian masih dijana enjin 1.8 liter SOHC i-VTEC berkuasa 142 PS/172 Nm bersama kotak gear CVT automatik memacu hanya roda hadapan.

Bagi sistem keselamatan pula, ksemua HR-V dibekalkan dengan enam-beg udara, Isyarat Berhenti Kecemasan (ESS), Bantuan Kestabilan Kenderaan (VSA) serta bantuan mula mendaki. Versi RS menerima lebih fungsi dengan penambahan sistem kamera titik buta Honda LaneWatch. Sistem Brek Kecemasan Aktif Bandar (CTBA) masih belum dibekalkan untuk mana-mana varian HR-V di Malaysia.