Selepas dipecat sebagai pengerusi Nissan, kini Carlos Ghosn digugurkan pula dari jawatan yang sama di Mitsubishi setelah beliau ditahan oleh pihak berkuasa Jepun atas kesalahan kes jenayah yang disyaki melanggar undang-undang Instrumen Kewangan dan Tukaran Jepun. Walau bagaimanapun, Mitsubishi menyatakakan bahawa Ghosn masih lagi kekal di dalam ahli lembaga pengarah syarikat berkenaan.

Ghosn ditangkap minggu lalu kerana didakwa telah melakukan penyelewengan terhadap kewangan syarikat dengan amaun yang dilaporkan mencecah lima bilion yen dalam masa lima tahun, sehingga Mac 2015, manakala ada juga laporan yang menyebut ia mencecah hampir 10 bilion yen.

Dalam kenyataan rasmi, Mitsubishi mengesahkan bahawa CEO syarikat iaitu Osamu Masuko akan menggalas tugas sebagai pengerusi buat sementara waktu sehingga mesyuarat agong ahli lembaga seterusnya.

Ghosn dilantik sebagai pengerusi Mitsubishi setelah melengkapkan pembelian 34% saham Mitsubishi oleh Nissan pada Oktober 2016. Atas pembelian berkenaan, jawatan CEO Nissan yang disandang oleh Ghosn ketika itu diserahkan kepada Hiroto Saikawa.

Sehingga kini, satu lagi jenama dibawah pakatan berkenaan iaitu Renault masih belum mengambil apa-apa tindakan terhadapan Ghosn, dan beliau masih lagi kekal sebagai pengerusi dan CEO syarikat pembuat kereta Perancis tersebut. Walau bagaimanapun, COO Thierry Bolloré kini dilantik untuk menggalas tugas CEO Renault buat sementara waktu ketika siasatan terhadap Ghosn berlangsung.

Awal tahun ini, Nissan dan Renault dilaporkan sedang berbincang untuk bergabung dan mewujudkan syarikat yang akan melakukan urus niaga sebagai badan tunggal, namun mendapat bantahan dari ahli lembaga Nissan. Renault kini mempunyai kepentingan 43.4% dalam Nissan, manakala Nissan hanya memegang 15% kepentingan dalam Renault – yang dilihat sebagai kerjasama yang tidak sama rata.

Dalam aspek jualan pula, Nissan berjaya menjual 2.8 juta unit pada separuh pertama 2018, berbanding 2.1 juta oleh Renault pada tempoh yang sama. Secara keseluruhan, Pakatan Renault-Nissan-Mitsubishi telah menjual 5.1% lebih banyak kereta pada separuh pertama 2018 dan ia merupakan rekod baharu dengan jumlah 5,538,530 buah kenderaan.