Jarang kita membayangkan sebuah kereta elektrik biasa untuk mempunyai prestasi, atau direka untuk tujuan di litar. Tetapi Nissan ada pandangan yang berbeza tentang ini; syarikat itu menghasilkan sebuah jentera dengan semangat litar Leaf Nismo RC, yang diambil asasnya daripada model elektrik sepenuhnya jenama itu, Leaf.

Bagi penampilan Leaf generasi kedua yang ada ketika ini, versi jentera lumba RC model berkenaan – dari generasi kedua ini – turut diperkenalkan, dengan janaan kuasa dua kali ganda. Bagaimanapun, jentera ini lebih kepada maksud pemasaran dan bukannya untuk memberikan puncak prestasi yang sebenar di dalam perlumbaan. Apa pun, enam unit kereta ini akan dikeluarkan untuk diperagakan di seluruh dunia.

Dari satu sisi lain, Nissan Leaf Nismo RC terbaru ini juga bukanlah sekadar memanfaatkan perbezaan penampilan luaran semata-mata; ia sebenarnya ada sesuatu yang lebih untuk ditawarkan daripada sekadar sebuah jentera pameran.

Yang dimaksudkan ialah penggunaan sepasang motor elektrik pada roda depan dan belakangnya, dengan kuasa 120 kW (161 hp). Digabungkan, janaan kuasa keseluruhannya ialah 240 kW (322 hp) dengan jumlah tork sebanyak 640 Nm. Ini dua kali lebih banyak kuasa dari RC yang lama.

Selain itu, untuk pertama kali juga sistem pacuan semua roda diperkenalkan bagi versi ini, dengan torque vectoring yang sebenarnya disalurkan untuk mendapatkan jumlah tork optimum bagi semua roda. Bateri lithium-ion, yang sama dari model Leaf biasa, ditempatkan di bawah bahagian tengah kenderaan untuk mendapatkan keseimbangan beban yang baik.

Komponen ringan dan kerangka monocoque dari gentian karbon sepenuhnya membolehkan versi RC ini tampil dengan berat hanya 1,220 kg. Pecutan dari 0-100 km/j pula boleh dicapai dalam masa hanya 3.4 saat – separuh daripada masa yang diambil oleh versi terdahulu.

Rekaan luarnya masih lagi sebuah Leaf, tetapi dengan beberapa perubahan lain untuk mengubah penampilannya supaya lebih garang. Kedudukannya lebih rendah, bahagian bonet yang lebih panjang serta fender yang lebih lebar, splitter depan yang lebih besar, diffuser belakang yang lebih ketara dan tiada pintu belakang serta wing belakang yang besar merupakan antara perubahan yang dimaksudkan.

Antara kiraan dimensi yang wajar dinyatakan ialah model ini 300 mm lebih rendah berbanding Leaf biasa, dengan ketinggian RC baru ini ialah 1,212 mm. Versi ini juga lebih panjang, dengan ukuran 4,546 mm dan jarak antara roda 2,750 mm.

Nissan Leaf Nismo RC terbaru ini akan membuat penampilan pertama di Nismo Festival di Fuji Speedway. Ia bakal menyaksikan pemandu profesional menguji jentera ini dalam litar. Ia juga akan dipemarkan ketika perlumbaan Formula E dan acara-acara besar seluruh dunia.