Mugen Honda akan bawa Insight, CR-V, N-Van yang ditala dan Prototaip Mugen Civic Type R ke TAS 2019

Mugen Honda akan bawa Insight, CR-V, N-Van yang ditala dan Prototaip Mugen Civic Type R ke TAS 2019

Penala prestasi tinggi yang sering dikaitkan dengan Honda, Mugen, akan ke Tokyo Auto Salon (TAS) 2019 Januari ini dengan pelbagai model menarik. Antara yang diumumkan bakal berada di booth jenama tersebut adalah model hibrid Honda Insight, SUV segmen-C Honda CR-V dan juga kenderaan utiliti bersaiz K-Car Honda N-Van – kesemuanya akan mendapat sentuhan Mugen.

Honda Insight 2019 baru sahaja membuat kemunculan sulungnya pada awal tahun ini. Kereta dedikasi hibrid yang direka menggunakan platform Civic tersebut sememangnya menampilkan rupa yang lebih ‘handsome‘ dari model generasi sebelumnya, dan dengan kit aero, muffler ekzos dua tip bersama rim 18×7.5j dari Mugen, kereta ini kelihatan jauh lebih agresif.

Mugen turut menawarkan aksesori lain untuk Insight ini seperti set karpet kaki, alas ruang kargo bonet belakang, pelindung pembuka pintu dan juga butang penghidup enjin. Tiada perincian sistem mekanikal dinyatakan oleh Mugen berkenaan model tersebut, namun versi standard Honda Insight dijana oleh gabungan enjin petrol 1.5 liter kitaran Atkinson dan sistem hibrid i-MMD dengan dua motor elektrik menghasilkan kuasa keseluruhan 151 hp/268 Nm.

Untuk CR-V Mugen, ia sebenarnya datang dengan kit aero yang sama seperti model yang dipamerkan oleh Honda Malaysia di Kuala Lumpur International Auto Show (KLIMS) 2018 baru-baru ini. Namun bagi versi JDM tersebut, ia turut hadir dengan rim 19×7.5 j tujuh jejari asli dari Mugen.

Model paling comel yang boleh anda belek di booth Mugen nanti adalah kenderaan utiliti kompak dengan saiz K-Car iaitu Mugen N-Van. Menurut Mugen, N-Van sentuhan mereka ini adalah untuk mereka yang gemarkan sukan bermotor, tetapi bukan untuk dibuat lumba, sebaliknya digunakan sebagai kenderaan kru.

Jadi, Mugen N-Van ini bukan sahaja menerima kit aero, pelekat badan dengan grafik Team Mugen dan rim 12-inci asli dari Mugen, ia turut ditawarkan dengan bekas barangan dengan pilihan kapasiti 50 liter (saiz L) dan 20 liter (saiz M) juga dengan livery perlumbaan Mugen.

Tahun lalu, Mugen telah mendedahkan model prototaip Civic Type R Mugen RC20 GT menampilkan rupa seperti kapal angkasa yang penuh kontroversi. Jadi tahun ini, badan penala berkenaan mengumumkan akan mendedahkan satu lagi prototaip Civic Type R FK8 yang diperhalusi. Tiada lagi sebarang perincian mahupun gambar didedahkan untuk model tersebut, dan kalau tiada aral, laporan susulan lengkap akan kami persembahkan kepada anda ketika berlangsungnya Tokyo Auto Salon bermula 11 hingga 13 Januari 2019 nanti.

GALERI: Honda Insight Mugen TAS 2019

GALERI: Honda CR-V Mugen TAS 2019

GALERI: Honda N-Van Mugen TAS 2019

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required