Perodua Aruz – apa beza dengan Toyota Rush?

Perodua Aruz – apa beza dengan Toyota Rush?

Seperti diketahui, MPV-SUV tujuh-tempat duduk Perodua Aruz yang bakal dilancarkan tidak lama lagi adalah kembar seiras Toyota Rush yang telah pun diperkenalkan di Malaysia pada Oktober tahun lalu. Jangan pelik dengan situasi ini kerana di Indonesia, Rush turut mempunyai kembarnya yang dijual pada masa yang sama iaitu Daihatsu Terios.

Malah bukan sahaja pasangan Rush-Terios dijual serentak di pasaran berkenaan, ada lagi model-model lain kedua-dua jenama tersebut (Daihatsu kini merupakan milik penuh Toyota) turut dijual sedemikian, misalnya hatchback segmen A Toyota Agya dan Daihatsu Ayla, serta Toyota Avanza dan Daihatsu Xenia. Namun satu perkara yang boleh diperhatikan, Toyota sentiasa meletakkan model jenama mereka dengan kelengkapan yang lebih banyak, berbanding Daihatsu yang diletakkan sedikit rendah, walaupun sebenarnya Daihatsu yang mengetuai projek-projek kereta kompak untuk pasaran baharu yang penting.

Jadi bagaimana pula perbezaan antara Toyota Rush dan Perodua Aruz di Malaysia? Untuk pengetahuan anda, Rush dan Aruz kedua-duanya dipasang di kilang Perodua, Rawang, tetapi untuk Rush proses kemasan akhir, pemasangan aksesori dan kawalan kualiti akhir dilakukan di kilang baharu mereka, di Bukit Raja, Klang.

Perodua Aruz – apa beza dengan Toyota Rush?

Bekalan enjin dan juga transmisi kedua-dua model ini juga disalurkan oleh pihak yang sama, iaitu kilang Daihatsu Perodua Engine Manufacturing Sdn Bhd (DPEM) dan juga Akashi Kikai Industry (M) Sdn Bhd – kedua-duanya terletak di Sendayan, Negeri Sembilan.

Pasangan Rush-Aruz di Malaysia juga tidak sepenuhnya sama dengan kembar Rush-Terios di Indonesia. Untuk pasaran tempatan, MPV-SUV ini sebenarnya dibangunkan oleh Perodua dengan talaan suspensi yang lebih keras, sesuai dengan penggunaan di Malaysia yang lebih pada jalan bertar mengambil kira kebolehan mengambil selekoh, berbanding di Indonesia yang memerlukan talaan lebih lembut sesuai dengan permukaan jalan kawasan pedalaman negara berkenaan.

Boleh dirumuskan bahawa, untuk sistem mekanikal, Aruz dan juga Toyota Rush pasaran Malaysia adalah sama sepenuhnya kerana proses R&D dijalankan oleh Perodua sendiri. Apa yang membezakan mereka adalah pada aspek rekaan perincian dan juga kelengkapan seperti yang akan kami kupas di bawah.

Rekaan Luaran

Perodua Aruz – apa beza dengan Toyota Rush?

Perodua Aruz (atas), bahagian muka Toyota Rush pasaran Malaysia (bawah-kiri) dan Daihatsu Terios pasaran Indonesia (bawah-kanan)

Perodua masih belum mendedahkan foto penuh Aruz, dan ketika sesi pandu uji media tempoh hari, rakan-rakan kami yang ke sana tidak dibenarkan membawa masuk sebarang kamera. Namun apa yang boleh kami simpulkan adalah perbezaan rupa paling besar antara Aruz dan Rush adalah pada bahagian muka.

Bonet dan kluster lampu hadapan adalah sama kedua-duanya. Namun perincian antara Aruz dan Rush adalah berbeza. Pertama adalah pada bahagian gril – Aruz menerima lima jalur berbanding hanya empat pada Rush, di mana bar ketiga direka sebagai ‘sayap’ untuk logo Perodua yang terletak di tengah. Sayap krom penuh berkenaan juga direka lebih tebal dari jalur lain yang menghubungkan lampu jalur LED lampu nyalaan siang dengan tebal yang sama, terletak dalam kluster lampu hadapan.

Bahagian belakang Perodua Aruz (kiri) dan bahagian belakang Toyota Rush (kanan)

Seterusnya pada lampu utama. Sekali imbas kedua-duanya nampak sama, tetapi jika dilihat dengan lebih teliti, Rush hanya diberikan jalur tunggal, sementara Aruz menerima jalur LED berkembar. Selain itu, Aruz juga menerima rekaan kemasan bampar hadapan yang lebih tersendiri yang tidak sama dengan Rush mahupun Terios di Indonesia.

Pada bahagian belakang pula, rekaan Aruz dan Rush terutamanya pada bahagian lampu dan kemasan-kemasan pada pintu tailgate adalah serupa. Rush pasaran Malaysia menerima kit badan lebih labuh dari bampar hadapan hingga belakang, yang digelar sebagai rekaan “R-Blade” oleh UMW Toyota, sementara Aruz tampil lebih ringkas tanpa kit yang serupa. Kedua-dua Aruz dan Rush menerima set rim aloi 17-inci dengan kemasan dua tona, namun ia akan menampilkan rekaan yang berbeza.

Rekaan Dalaman

Untuk pengetahuan anda, Aruz dibekalkan papan pemuka yang berbeza berbanding Rush. Seperti yang dinyatakan oleh ketua pereka Perodua Muhamad Zamuren dalam wawancara bersama paultan.org sebelum ini, rakyat Malaysia lebih gemarkan rekaan “rumit tetapi ringkas”. Oleh itu, papan pemuka yang terlalu ringkas dari Rush telah direka semula bagi mendapatkan sentuhan yang rumit.

Untuk itu, bahagian atas papan pemuka tersebut telah dirombak semula dengan memberikan rupa “bentuk-V” atau air terjun yang menyerlah, berbanding permukaan berbentuk-T pada Rush. Bukan itu sahaja, panel dalaman pintu Aruz menerima rekaan unik bagi memadankan rekaan pada papan pemuka. Walau bagaimanapun, panel paparan meter masih lagi berkongsi bersama kembarnya itu.

Papan pemuka Perodua Aruz (kanan) dan papan pemuka Toyota Rush (kiri)

Aruz juga menerima papan kawalan penghawa dingin berbeza dengan Rush – model Toyota berkenaan diberikan dua tombol bersama fungsi automatik, manakala panel Aruz diambil dari Myvi dengan fungsi dua storan memori larasan.

Model Perodua ini juga diberikan kemasan dalaman yang lebih ‘selamat’, menampilkan tema hitam keseluruhan dengan perincian piano black bersama serlahan berwarna perak bagi model Advance. Ia berbeza dengan Rush yang diberikan kemasan-kemasan berwarna beige pada bahagian bawah, serta corak-corak jahitan palsu pada papan pemuka dan pintu.

Kelengkapan

Seperti disebutkan tadi, Aruz dan Rush berkongsi penjana yang sama iaitu enjin 1.5 liter 2NR Dual-VVTi empat silinder, sama seperti Myvi, Avanza dan Vios. Perodua belum mendedahkan angka kuasa, tetapi kami anggarkan ia menghasilkan tenaga yang sama iaitu 105 PS pada takat 6,000 rpm dan tork maksima 136 Nm pada takat 4,200 rpm. Kuasa akan dialirkan menerusi kotak gear empat kelajuan automatik, memacu gandar belakang.

Sama dengan Bezza dan Myvi, Aruz juga menerima sistem Eco Idle dengan fungsi auto start-stop untuk enjin, dan Perodua mendakwa ia mencatatkan ekonomi penggunaan bahan api 15.6 km/l, sama seperti apa yang disebutkan Toyota terhadap Rush. Sebagai rujukan, pesaing terdekat mereka, Honda BR-V turut dijana enjin 1.5 liter, tetapi dengan kotak gear CVT memacu roda hadapan.

Jadi apa yang menyebabkan Toyota Rush lebih mahal sekitar RM20k berbanding Perodua Aruz? Apa yang kami nampak sekarang Rush menerima kelengkapan elektronik lebih canggih seperti sistem penghawa dingin automatik (tetapi hanya Aruz yang menerima fungsi memori) dan pemantau titik buta. Selain itu, ia juga dibekalkan dengan Monitor Paparan Panaromik yang bersepadu dengan sistem infotaimen Toyota, menerima imej sudut mata burung dari empat kamera 360-darjah bagi membantu pemandu ketika memarkir.

Hari ini Perodua telah mengumumkan bahawa Aruz sudah boleh ditempah dan akan dijual dalam dua varian. Versi asas X akan dijual pada harga anggaran RM72,200, manakala versi tertinggi Advance berharga RM77,200. Toyota juga ditawarkan dalam dua varian, iaitu model 1.5G berharga RM93,000, dan RM98,000 untuk model spesifikasi penuh 1.5S.

GALERI: Perodua Aruz 1.5AV



GALERI: Toyota Rush 1.5 S 2018

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required