Subaru WRX STI S209 bakal ditayangkan di North American International Auto Show (NAIAS) 2019 di Detroit, dan teaser rasminya telah pun disiarkan. Pemerhati JDM pastinya akan beranggapan keputusan untuk mempertontonkan S20X terkini di Detroit bukanlah sesuai sangat, tetapi sebenarnya ia adalah tepat.

Selalunya, model edisi terhad hanya untuk Jepun, tetapi kali ini S209 akan datang ini memecahkan tradisi dan ia akan berada di pasaran USA secara rasminya. Sesuai dengan tagline yang dipilih; “The S209. From Japan With Love”.

“Semua Subaru Tecnica International S-model berkongsi dua perkara yang sama: Ia selalu mewakili sejumlah pengetahuan yang dipelajari dari Subaru motorsport dan pembangunan kenderaan, dan ia tidak pernah ditawarkan di US,” ujar Subaru.

“Bulan ini, di Detroit, anda boleh menyaksikan buat pertama kalinya model STI yang sangat menguja, sangat berkuasa dan miliki pengendalian terbaik, yang bakal dipamerkan secara langsung dari NAIAS 2019,” tambahnya.

S-model terdahulu, WRX STI S208, diperkenalkan di Tokyo Motor Show 2017. Ia didatangkan dengan enjin EJ20 2.0 liter turbo empat-silinder mendatar dengan hamburan kuasa 329 PS dan tork 432 Nm dari 3,200 hingga 4,800 rpm. Pacuan disalurkan ke semua roda menerusi kotak gear manual enam-kelajuan.

NBR Challenge Package bagi S208 termasuklah spoiler lips hadapan dan belakang, aloi BBS hitam 19-inci dan skirt sisi. Ia juga didatangkan dengan bumbung gentian karbon dan wing belakang, dengan perkataan ‘S208’ pada endplate.

GALERI: Subaru WRX STI S208