Saban tahun, Nihon Automotive Technology School (NATS) pasti akan menjadi peserta tetap ke Tokyo Auto Salon (TAS) bagi mempamerkan hasil kerja pelajar-pelajar mereka. Ia bukan sekadar suka-suka, kerana kolej berkenaan mensyaratkan untuk seseorang pelajar itu lulus, projek akhir mereka perlulah lengkap untuk dipamerkan pada acara ubahsuai kenderaan antara yang terhebat di dunia itu.

Trak pikap Lamborghini Urus ini salah satu projek yang telah dipamerkan di TAS tahun ini. Adakah ia benar-benar Lamborghini Urus yang telah diubahsuai jadi trak pikap? Tarik nafas dalam-dalam, dan perhatikan dengan tenang, anda tentu nampak ia sebenarnya dihasilkan dari sebuah Toyota 86.

Apa yang kami faham, asas Toyota 86 tersebut juga bukanlah sebuah kereta standard, tetapi ia juga pernah dijadikan sebagai bahan projek pelajar senior mereka terdahulu yang digelar NATS Extreme. Jadi ahli kumpulan projek NATS Urus86 ini terlebih dahulu perlu membuang panel-panel ubahsuai yang telah terlekat pada badan kereta tersebut.

Kemudian, mereka telah menghasilkan bampar hadapan yang menyerupai Lamborghini Urus sebenar, dan memotong bahagian belakang Toyota 86 ini bagi menjadikan bed yang lengkap dengan sports bar. Lampu belakang 86 masih lagi kekal, tetapi bahagian tailgate dihasilkan dengan spoiler ekor itik yang dibina bersama, dan diberikan bampar lebih bersegi.

Kereta ini diberikan warna badan kuning, dan kemudian dipadankan dengan panel fender yang lebih lebar dengan rivet yang kelihatan seperti kit badan Rocket Bunny, diwarnakan dengan rona hitam. Suspensi trak pikap ini pastinya telah diubahsuai untuk ditinggikan, dan ia menerima rim berkonsep SUV mewah berdiameter 20-inci, dibaluti tayar All-Terain dari Nitto.

Adakah projek-projek rekaan pelajar-pelajar NATS ini hanya menitikberatkan rupa dan bolehkah ia dipandu di jalan raya? Untuk pengetahuan anda, NATS mempunyai 750 orang pelajar yang menuntut dalam empat jenis kursus pada satu-satu masa. Secara asas, kesemua pelajar perlu mengambil Kursus Penyelenggaraan selama dua tahun bagi melayakkan mereka diiktiraf sebagai mekanik kelas 2 di Jepun.

Kemudian, mereka boleh memilih untuk menyambung pengajian dalam tiga kursus berbeza iaitu Sukan Permotoran (setahun), Customize (setahun) atau Penyelidikan (dua tahun). NATS Urus86 ini adalah merupakan salah satu projek pelajar-pelajar dari kursus Customize yang telahpun dibawa ke TAS.

Seperti juga projek-projek lain, ia dimulakan pada bulan Julai (kursus asas bermula bulan April dan berakhir pada Jun) dan mereka mempunyai masa selama setengah tahun sebelum TAS berlangsung pada Januari tahun berikutnya.

Selepas dipamerkan di TAS, kenderaan ini akan menjalani ujian yang diselia oleh jabatan pengangkutan jalan negara berkenaan. Setelah diluluskan untuk digunakan secara sah di atas jalan raya, pelajar-pelajar berkenaan perlu mengujinya pada jalan raya sebenar yang digelar “Test Run Caravan”. Lengkap kesemua proses ini, barulah mereka diiktiraf lulus dan boleh menamatkan pengajian di NATS.