BMW Motorrad sekali lagi mencatat peningkatan jumlah jualan pada tahun 2018, sekaligus menjadikannya tahun ke lapan berturut-turut ia terus naik. Untuk tahun 2018, 165,566 buah motosikal dan skuter berjaya diserahkan kepada pelanggan dan ini mengatasi jumlah tahun sebelumnya sebanyak 164,153 buah.

Menurut ketua BMW Motorrad, Dr Markus Schramm, syarikat meletakkan sasaran untuk mencapai tahap 200,000 pada tahun 2020. “Jumlah jualan pada tahun 2018 menunjukkan strategi perkembangan motosikal kami berkesan. Kejayaan ini dapat dicapai hasil pengenalan enam model baru serta barisan produk BMW Motorrad yang kuat. Kami masih mempunyai rancangan yang bagus untuk tahun seterusnya,” kata Schramm.

Ini termasuklah pengenalan pasukan BMW Motorrad WorldSBK pada tahun 2019, untuk bersaing dalam perlumbaan FIM World Superbike Championship menggunakan S 1000 RR 2019. Jerman adalah pasaran paling besar bagi BMW Motorrad dengan catatan jualan 23,824 unit, diikuti Perancis 16,615 unit dan Itali 14,110 unit.

Untuk pasaran Asia, China adalah pasaran yang mencatat jumlah jualan paling tinggi iaitu 7,561 unit (naik 35% berbanding tahun sebelumnya) diikuti India 2,187 unit. Di Malaysia sendiri, BMW Motorrad berjaya menjual 1,130 buah motosikal pada tahun 2018, dan ini bersamaan dengan peningkatan 7% berbanding tahun 2017. Daripada jumlah ini, paling banyak dijual adalah R 1200 GS Adventure iaitu 300 unit.

Dalam pasaran seluruh dunia, BMW Motorrad telah menjual secara keseluruhannya 84,000 unit model siri R dan lebih 51,000 daripadanya adalah R 1200 GS/GS Adventure. Melihat kepada motosikal bawah 500 cc pula, 24,363 unit G 310 R dan G 310 GS berjaya dijual dan ini bersamaan dengan 14.84% daripada jumlah jualan keseluruhan (global) BMW Motorrad pada tahun 2018.