Pemilik SUV biasanya jarang-jarang akan bawa kenderaan mereka untuk off-road, sebab spesifikasi dan kelengkapan yang ada lebih sesuai untuk jalan berturap dan mementingkan keselesaan. Tetapi, dengan model RAV4 TRD Off-Road, Toyota ingin mengubah perkara itu.

Tampil di Chicago Auto Show nanti, model baru berkenaan diasaskan daripada versi Adventure yang terdapat di pasaran AS, dengan tambahan alatan TRD yang diilhamkan dari jentera rali RAV4. Antara yang utama ialah suspensi khusus yang dibangunkan untuk memberikan kawalan yang lebih baik dan lancar, baik di jalan biasa atau permukaan kasar.

Ia termasuk gelung spring merah dengan tumpuan penggunaan off-road yang lebih berkesan, sementara penyerap hentak tiub berkembar pula menggunakan injap serta spring baru untuk kawalan hentakan yang lebih baik.

Tambahan lain termasuk mekanisme yang akan memberhantikan hentakan, bertujuan untuk mempertingkat tekanan arah dari roda. Roda pula menggunakan rim TRD aloi saiz 18-inci dalam kemasan hitam kesat. Tayar pula menggunakan jenis semua permukaan Falken Wildpeak A/T Trail.

Tayar berkenaan bukan biasa-biasa; ia dibangunkan khusus mengikut keperluan teknikal TRD, termasuk bahagian bahu tayar bersegi yang bertujuan untuk melindungi daripada mudah pancit. Tayar ini juga lebih berkesan untuk penggunaan ketika musim salji serta berlumpur.

Toyota RAV4 TRD Off-Road ini di datangkan dalam dua warna dwi-tona; Magnetic Grey Metallic pada badannya dengan Ice Edge untuk bumbung serta perincian kelabu gelap pada bahagian depan dan belakang. Lain-lain pilihan ialah Midnight Black atau Lunar Rock dengan bumbung putih, atau Ruby Flare Pearl dan Super White.

Ruang dalam dihiasi dengan kemasan warna merah, serta material SofTex yang digunakan untuk tempat duduk – lebih tahan lasak. Selebihnya penjenamaan TRD juga dapat dilihat dengan jelas, misalnya dengan jahitan merah pada perehat kepala.

Enjin bagaimanapun masih menggunakan unit sebelum ini; Dynamic Force 2.5 liter empat-silinder yang menyediakan 203 hp dan 249 Nm. Ini digandingkan pula dengan transmisi automatik lapan-kelajuan Direct Shift serta hadir sekali ciri Dynamic Torque Vectoring All-Wheel Drive (TV-AWD) dengan Rear Driveline Disconnect.