Semalam tersebar satu gambar Honda Civic Type R FK8 dengan grafik badan Polis DiRaja Malaysia (PDRM), dibawa oleh sebuah lori pengangkut, apa cerita sebenarnya? Adakah ia bakal menggantikan peronda berprestasi tinggi pasukan berkenaan atau dikenali sebagai ‘Helang Lebuhraya’ menggantikan Mitsubishi Lancer Evo X sebelum ini?

Kami berjaya mendapatkan berberapa imej yang lebih jelas, dan menerusi apa yang kami tahu kereta ini masih lagi milik Honda Malaysia, tetapi ia kini sedang diuji oleh pihak PDRM sebelum membuat keputusan bagi menggunakannya sebagai senjata baharu mereka.

Sekitar sepuluh tahun lalu, PDRM membeli 25 unit Lancer Evolution X bagi kerja-kerja mengejar dalam kelajuan tinggi seperti kes-kes mencuri kereta, menculik dan juga merampas kenderaan. Kesemua pemandu Helang Lebuhraya tersebut juga diberikan latihan khas bagi membolehkan mereka memandu jentera berprestasi tinggi tersebut dengan berkesan.

Jika PDRM bersetuju untuk membeli Civic Type R FK8 ini, mereka bakal mempunyai jentera dengan bekalan kuasa 310 PS pada takat 6,500 rpm dan tork maksima 400 Nm dari enjin 2.0 liter VTEC Turbo, memacu roda hadapan dengan kotak gear manual enam-kelajuan.

Buat masa ini, PDRM telahpun menerima 15 unit SUV Mitsubishi Outlander 2.4 yang disumbangkan oleh syarikat konsesi lebuhraya PLUS tahun lalu bagi digunakan sebagai Peronda Lebuhraya (EMPVs). Selain Lancer Evo X, PDRM juga sebelum ini mempunyai berberapa lagi peronda lebuhraya yang sangat cool seperti Proton Satria GTI dan juga wagon turbo Volvo 850 T5.