Setelah dipamerkan di Kuala Lumpur International Motor Show (KLIMS) tahun lalu, Honda Malaysia (HM) hari ini mengumumkan bahawa Honda Jazz Mugen telahpun secara rasmi dilancarkan untuk pasaran Malaysia. Bukan hanya hatchback segmen-B ini, malah HM turut melancarkan sekali model istimewa SUV MPV tujuh-tempat duduk Honda BR-V Special Edition yang hadir dengan rupa lebih sporty. Kalau anda berminat dengan kedua-dua model ini, jangan berlengah kerana setiap satu model berkenaan hanya dibina terhad kepada 300 unit sahaja.

Untuk Jazz Mugen, model ini diasaskan dari versi tertinggi gred V dan diberikan set lengkap kit badan Mugen Aero, berbeza dari kit Mugen yang diperkenalkan pada versi sebelumya. Ia hadir dengan bampar hadapan yang lebih seperti kapal angkasa, menampilkan lampu kabus LED bulat dan juga sepasang lubang kembar tiga pada bahagian bawah – dua daripadanya menempatkan lampu nyalaan siang LED. Muka model ini turut dilengkapkn dengan gril hadapan lengkap dengan emblem Mugen dan juga spoiler di bawah bampar.

Bahagian sisi, Jazz lebih sporty ini menerima skirt sisi dengan spoiler pada bahagian bawah. Manakala di belakang, kemasan lebih labuh seakan diffuser bersama perumah untuk lampu kabus tengah (lampu sebenar tidak disertakan). Dua spoiler belakang diberikan untuk Jazz Mugen ini iaitu spoiler bumbung bersaiz besar, dan satu lagi terletak di bawah cermin belakang dengan kemasan hitam.

Walau bagaimanapun, model produksi ini tidak hadir sekali dengan set rim 17-inci Mugen seperti model konsep yang muncul di KLIMS 2018, sebaliknya hanya diberikan rim aloi 16-inci biasa sama seperti Jazz V standard. Juga, warna Passion Red Pearl tidak ditawarkan untuk model ini tetapi anda diberikan dua warna badan dengan dua warna berbeza – Modern Steel Metallic berharga RM88,600, manakala White Orchid Pearl pula dijual pada harga RM88,720.

Harga yang dinyatakan ini adalah harga atas jalan tanpa insuran, dan untuk perbandingan versi standard Jazz V dijual pada harga RM83,633. Dengan harga ini, pembeli akan menerima semua ciri dari model spesifikasi penuh Jazz V termasuk skrin sesentuh 6.8-inci, panel sesentuh untuk kawalan penghawa dingin, upholsteri kulit dan enam-beg udara. Ia juga masih dijana enjin 1.5 liter empat silinder i-VTEC SOHC berkuasa 120 PS/145 Nm digandingkan dengan kotak gear CVT automatik.

Manakala untuk BR-V Special Edition pula, ia turut diasaskan dari model spesifkasi penuh gred V. Dijual pada harga RM90,700, model istimewa ini menerima pelbagai ciri tambahan.

Pada bahagian sisi, BR-V Special Edition didatangkan standard dengan Running Board dan kemasan pada bendul pintu. Manakala di belakang, ia hadir dengan spoiler bumbung pada pintu tailgate. Pembeli ditawarkan dengan warna Passion Red Pearl pada BR-V ini yang menggantikan warna Dark Ruby Red Pearl sebelumnya. Jika anda mahukan warna putih istimewa White Orchid Pearl, bayaran tambahan sebanyak RM300 perlu disediakan.

Masuk ke kabin, BR-V Special Edition menerima skrin sesentuh bersaiz 6.8-inci, berbanding hanya 6.1-inci pada model V standard. Walaupun mempunyai saiz yang sama dengan skrin pada Jazz dan City, skrin 6.8-inci pada BR-V menampilkan paparan yang berbeza.

Untuk ciri-ciri lain, versi Special Edition ini masih berkongsi dengan model gred V, termasuk rim aloi 16-inci, upholsteri kulit, penghawa dingin automatik dengan unit untuk kabin belakang, dua-beg udara, sistem kunci pintar dengan suis penghidup enjin, kamera under dan sistem VSA. Unit janakuasa juga tidak berubah dengan enjin 1.5 liter i-VTEC berkuasa 120 PS/145 Nm, bersama kotak gear CVT automatik memacu roda hadapan.