Honda e Prototype akan muncul di Geneva – kereta elektrik comel bakal dijelmakan dalam bentuk produksi

Honda e Prototype akan muncul di Geneva – kereta elektrik comel bakal dijelmakan dalam bentuk produksi

Ingat lagi kereta konsep elektrik sepenuhnya yang kelihatan seperti jelmaan semula Honda Civic ‘telur’ generasi pertama di Frankfurt Motor Show 2017 Honda Urban EV Concept? Nampaknya versi produksi kereta tersebut hampir tiba, dan pada Geneva Motor Show bulan hadapan, Honda bakal mendedahkan versi prototaip digelar e Prototype.

Menurut Honda, kereta elektrik sepenuhnya ini bukan sahaja direka dengan memfokuskan kepada fungsi dan kegunaan yang termaju, malah ia juga dihasilkan bagi memberi dinamik pemanduan yang menyeronokkan.

Untuk versi yang lebih realistik ini, rupa ‘Civic Telur’ telah hilang sedikit, namun berberapa ciri seperti lampu hadapan bulat, kemasan bahagian ‘gril’ hitam, dan pembuka pintu tenggelam, masih lagi kelihatan. Badan dua pintu pada versi konsep juga berubah kepada empat pintu pada versi ini, namun pembuka pintu belakang disorokkan pada bahagian atas seperti Honda HR-V.

Honda menyatakan bahawa muka kereta ini direka dengan motif seakan muka manusia, dibantu oleh lampu hadapan bulat yang ringkas. Kemasan hitam pada bonet hadapan kereta ini pula sebenarnya terletak port pengecas bateri. Penunjuk LED juga dapat dilihat dari penutup lutsinar berkenaan, memaparkan status pengecasan tersebut.

Honda e Prototype akan muncul di Geneva – kereta elektrik comel bakal dijelmakan dalam bentuk produksi

Walaupun badan kereta ini kelihatan kecil, ia sebenarnya dibina dengan jarak roda yang panjang, overhang depan dan belakang yang pendek, dan trek yang lebar bagi membolehkan ia bergerak lincah di dalam bandar dengan karekter pemanduan yang dinamik.

Inspirasi Civic generasi pertama masih lagi banyak dikekalkan pada bahagian dalam, terutamanya papan pemuka yang direka dengan konfigurasi dek berkembar, bersama kemasan seakan kayu merentanginya. Juga, roda stereng dua jejari akan mengingatkan kita kepada Civic SB1.

Ruangan kabin ini menerima rekaan moden minimalis, yang akan mewujudkan suasana menenangkan untuk pemandu dan penumpang, dakwa Honda. Perasaan seperti berada di lounge diberikan menerusi fabrik sofa gaya melange dan material-material lain yang boleh dijumpai di rumah kontemporari.

Untuk penumpang dan pemandu, dua skrin paparan disediakan pada papan pemuka yang menampilkan pelbagai aplikasi dan servis. Skrin-skrin berkenaan direka bagi memberikan “kebolepenggunaan terbaik” dan Honda mensasarkan untuk mentransformasi kereta dari satu objek pengangkutan kepada kenderaan yang bersepadu sepenuhnya dalam kehidupan moden seharian.

Honda e Prototype akan muncul di Geneva – kereta elektrik comel bakal dijelmakan dalam bentuk produksi

Pada hujung kedua-dua sisi papan pemuka tersebut turut menempatkan skrin bagi memaparkan imej pandangan sisi belakang yang diperolehi dari Sistem Cermin Kamera, menggantikan cermin sisi konvensional. Skrin tersebut direka secara ergonomik bagi memberikan perasaan sama seperti menggunakan cermin sisi sebenar.

Di belakang turut diberikan satu lagi kamera bagi memberikan imej yang lebih luas berbanding menggunakan cermin pandang belakang bahagian tengah biasa.

Janakuasa elektrik kereta ini direka khas bagi membolehkan ia dipadankan pada platform kompak ini tanpa menggangu ruang dan kegunaannya. Honda e Prototype ini boleh dipandu sejauh 200 km dalam satu cas penuh, dan mempunyai fungsi cas cepat yang mampu mengecas sehingga 80% penuh dalam masa hanya 30 minit, membolehkan ia digunakan dalam bandar sebagai pengangkutan harian.

Kuasa dari motor elektrik kereta ini juga sebenarnya memacu roda belakang bagi memberikan pengalaman pemanduan yang seronok dan beremosi. Lebih perincian akan dijangka akan didedahkan ketika kemnuculan sulungnya nanti dan Honda turut mengesahkan bahawa e Prototype ini akan mula diproduksi bermula lewat tahun ini.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required