Kalau masih ada yang tak tahu, trak pikap Ford Ranger hanya mula masuk ke pasaran Amerika bermula tahun ini, di mana sebelum ini Ford hanya menjual trak pikap di pasaran negara berkenaan dalam saiz penuh, dan saiz yang paling ‘kecil’ adalah F-150. Walau bagaimanapun, tiada varian Ranger Raptor ditawarkan di AS, di mana kesemua model dijana enjin petrol EcoBoost 2.3 liter turbo, berkuasa 270 HP/350 Nm.

Ini mendorong penala dari negara berkenaan – Hennessey – untuk menghasilkan Ranger Raptor versi mereka sendiri, dikenali sebagai Hennessey VelociRaptor Ranger, namun dalam jumlah yang sangat terhad, iaitu hanya 500 unit. Trak pikap ini masih lagi digerakkan dengan enjin asal, tetapi ia mendapat sentuhan semula dari Hennessey bagi mengerah sejumlah 350 HP dan tork maksima 521 Nm!

Bagi mendapatkan angka kuasa sedemikian, Hennessey telah memadankan sistem kemasukan udara baharu, sistem ekzos catback dari material stainless steel, serta talaan semula dilakukan pada kotak komputer enjin. Ini membolehkan VelociRaptor Ranger memecut dari 0-96 km/j dalam masa hanya 6.1 saat, atau 1.3 lebih pantas dari model standard.

Sistem suspensi juga dinaik taraf dengan talaan Stage 1 off-road Hennessey, membuatkan VelociRaptor Ranger ini empat-inci lebih tinggi dari Ranger di bilik pameran. Rim asal juga telah digantikan dengan rim HPE berdiameter 17-inci, dan balut dengan tayar off-road BFGoodrich, membolehkan tinggi keseluruhan Raptor jadian ini adalah enam-inci lebih tinggi dari Ranger standard.

Bagi membezakan Raptor versi Hennessey dengan Ranger standard, ia menerima berberapa ciri tambahan pada bahagian luaran, termasuk bampar baharu lengkap dengan lampu LED, bar lampu LED pada bahagian bumbung, dan juga pelekat-pelekat badan.

Hennessey Velociraptor Ranger ini dijual pada harga USD$64,950 (RM265k). Sebagai perbandingan, varian Ranger paling asas untuk pasaran Amerika dijual pada harga USD$24,300 (RM99k).