Honda Civic Type R FK8 menjadi jentera terkini yang menyertai pasukan polis Australia, hasil tajaan selama 12 bulan dengan Honda Australia. Hot hatch ini akan digunakan untuk inisiatif media sosial Eyewatch, yang menggalakkan orang ramai untuk menjadi peserta aktif dalam menjadikan komuniti mereka lebih selamat.

Seperti “kereta sewa” yang polis Australia terima sebelum ini, Civic Type R tidak akan digunakan sebagai jentera untuk mengejar penjenayah. Bahkan, ia tidak dilengkapi lampu rasmi, siren mahu pun radio polis, sebaliknya hanya diaplikasikan beberapa elemen untuk menarik perhatian.

Jadi, penjenayah terbebaslah dari dikejar jentera dengan enjin 2.0 liter DOHC VTEC Turbo dengan kuasa 310 PS dan tork 400 Nm ini. Walau bagaimana pun, kalau dalam keadaan terdesak, mungkin polis sana boleh saja gunakan jentera ini untuk ambil tindakan.

“Civic Type R dibangunkan sebagai jentera yang mampu memberikan pengalaman pemanduan yang cukup memuaskan dalam segmen hot hatch. Ia terbukti popular di kalangan pelanggan, peminat dan media permotoran, jadi kami sangat positif apabila polis Australia memilihnya terlibat dengan komuniti ini,” ujar pengarah Honda Australia, Stephen Collins.

“Honda Australia berbesar hati untuk menaja kereta ini selama 12 tahun, maka ia pastinya memberikan manfaat tidak dikenakan kos kepada pembayar cukai,” tambah assistant commissioner Joe Cassar APM, komander bagi NSW Police Force Capability, Performance and Youth Command.

Tambahnya lagi, “Rekaan yang menarik perhatian ini dilihat mampu menjadi permulaan yang bagus untuk berhubung secara lebih erat dengan orang ramai terutamanya golongan muda, yang pastinya mahukan pendekatan yang lebih selesa dengan polis tempatan.”

Bulan lalu, Polis DiRaja Malaysia (PDRM) juga dikhabarkan sedang menilai Civic Type R untuk dijadikan kenderaan “Helang Lebuhraya” sebagai pengganti kepada Mitsubishi Evo. Nampak gayanya memang tepat pilihan polis untuk menjadikannya sebagai salah satu jentera yang bakal digunakan, bukan setakat ia bergaya, paling penting, tangkas di jalan raya.